Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih & Maha Penyayang


"Setelah Kesulitan Pasti Ada Kemudahan"

Wednesday, April 21, 2010

Guru

1.0 PENGENALAN


1.1 Definisi guru


Dalam dunia pendidikan, guru merupakan salah satu egen terpenting yang memainkan peranan dalam mencorakkan suasana institusi pendidikan, pelajar, masyarakat serta dunia pada hari ini. Tanpa seorang guru, mungkin tidak akan lahirlah seorang doktor, arkitek, peguam, akauntan dan sebagainya. Oleh itu, kepimpinan seorang guru dalam mengendalikan proses pendidikan amatlah dititikberatkan bagi merealisasikan setiap matlamat yang diinginkan.

Sebelum kita mengupas lebih lanjut mengenai ciri-ciri atau gaya kepimpinan seorang guru, kita perlulah memahami dengan lebih jelas tentang apakah dan siapakah yang dikatakan sebagai guru ini. Menurut Kamus Dewan (2002), guru didefinisikan sebagai orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan pengasuh atau melatih. Dalam hal ini, mendidik bererti meneruskan dan mengembangkan nilai-nilai hidup, mengajar pula bermaksud meneruskan dan mengembangkan ilmu pengetahuan dan melatih bermakna mengembangkan keterampilan-keterampilan kepada para pelajarnya.

1.2 Kedudukan guru dalam pandangan Islam

Salah satu perkara yang agak menarik dalam ajaran Islam ialah mengenai penghargaan Islam yang sangat tinggi terhadap guru. Penghargaan kepada guru ini begitu tinggi sehingga menempatkan kedudukan guru setingkat di bawah kedudukan nabi dan rasul. Mengapa hal ini dikatakan sedemikian? Hal ini kerana, guru sangat berkait dengan ilmu (pengetahuan), sedangkan Islam sangat menghargai pengetahuan.

Di samping itu, kedudukan tinggi guru dalam ajaran Islam merupakan realisasi ajaran Islam itu sendiri. Islam memuliakan pengetahuan, pengetahuan itu diperolehi daripada proses belajar dan mengajar iaitu yang belajar adalah calon guru dan yang mangajar adalah guru. Maka itu, tidak dapat dinafikan bahawa Islam memang satu agama yang sangat memuliakan guru. Dalam pada itu, kita tidak dapat membayangkan bagaimana terjadinya perkembangan ilmu pengetahuan tanpa adanya seorang guru. Terdapat penyebab khas mengapa orang Islam amat menghargai guru, iaitu pandangan bahawa ilmu (pengetahuan) itu semuanya bersumberkan kepada Allah Tuhan sekelian alam. Hal ini dapat diterangkan berdasarkan kepada potongan ayat yang berikut:

......... .........
“Tidak ada pengetahuan yang kami miliki kecuali yang Engkau ajarkan kepada kami”.

Ringkasnya, ilmu itu datang dari Allah, guru pertama adalah Allah. Dengan itu, orang Islam sedar bahawa ilmu tidak terpisah daripada Allah, ilmu tidak terpisah daripada guru, maka kedudukan guru amat tinggi dalam Islam.

1.3 Konsep Kepemimpinan guru

Mengikut Kamus Dewan (2004), kepemimpinan bermaksud keupayaan memimpin. Dalam konteks ini, tugas kepemimpinan di sesebuah sekolah dapat dimainkan oleh guru yang berdedikasi, berinovasi dan kreatif. Sehubungan itu, Katzenmeyer dan Moller (2001) pula mendapati kajian-kajian kini menunjukkan guru berupaya menjadi pemimpin dalam sekolah. Hal ini kerana, keupayaan guru dapat memupuk semangat bekerjasama sesama rakan sekerja dan juga dengan pelajar. Dalam hal ini, guru-guru yang mempunyai sifat kepemimpinan berupaya menjalankan tugas sebagai penasihat, mentor, fasilitator, pelatih dan pakar kurikulum dalam usaha membawa perubahan atau pembaharuan dalam sekolah.

Menurut Abdullah Sani (et.al), dalam buku “Guru Sebagai Pemimpin”, kepemimpinan guru dapat dirumuskan sebagai sebagai keupayaan guru menggantikan kuasa atau kedudukan. Bagi mencapai situasi ini, ia memerlukan usaha dan tumpuan penuh pihak pengurusan sekolah dalam menyemai keperibadian guru yang dapat melahirkan perasaan hormat daripada orang dipengaruhi iaitu pelajar. Manakala guru pula perlu memperkembangkan personaliti diri bagi menarik perhatian orang yang ingin dipengaruhi.

Bagi mengekalkan kepemimpinan orang lain terhadap guru, seseorang guru perlulah sentiasa meningkatkan kebolehannya dalam bidang yang dipertanggungjawabkan. Dengan itu, pelaksanaan tugasan melalui kepemimpinan guru memerlukan kriteria-kriteria seperti berikut:
• Keperibadian yang perlu disemai dan dapat melahirkan perasaan hormat.
• Personaliti yang perlu diperkembangkan bagi mewujudkan pertalian yang dapat menyakinkan pihak sekolah dan staf.
• Kedudukan yang perlu dihormati, diteladi dan dipatuhi.
• Kebolehan yang mewujudkan kepercayaan dan amanah.


1.4 Konsep-konsep kepemimpinan

Menurut Haris dan Muijs (2005), terdapat dua konsep utama dalam membentuk ciri-ciri kepemimpinan guru iaitu peranan dan tanggungjawab serta kerjasama. Dalam konsep pertama, mereka menerangkan bahawa guru tidak hanya bertanggungjawab dan memainkan peranannya dalam batasan ruang linkup bilik darjah bagi mempengaruhi pelajar mencapai matlamat sekolah tetapi tempat memainkan peranan dalam usaha mencapai matlamat yang yang telah disusun oleh pihak sekolah.

Tambahan itu, guru yang berkepemimpinan memainkan peranannya sebagai guru yang bukan hanya membimbing pelajarnya memperoleh pencapaian yang terbaik tetapi juga berupaya memimpin dan membimbing teman sekerjanya ke arah matlamat yang hendak dituju iaitu matlamat yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah tanpa arahan atau paksaan daripada pihak atasan. Berdasarkan kepada perspektif ini, Katzenmeyer dan Moller (2005) menghuraikan tiga kemahiran kepemimpinan utama yang perlu dimiliki oleh seseorang guru.

1) Guru yang berkepemimpinan berkebolehan mempengaruhi pelajar atau rakan lain dan bertindak sebagai fasilitator, mentor, pakar kurikulum, pembentuk pendekatan baharu yang menerajui kumpulan pembelajaran dan sebagainya.

2) Mengambil bahagian dalam tugas-tugas operasi sekolah seperti melibatkan diri menerusi peranannya sebagai ketua bahagian seperti guru kanan, guru sumber dan lain-lain, menjadi ahli kepada kumpulan kerja seperti jawatankuasa bertindak sebagai guru disiplin, guru persatuan dan lain-lain serta bertindak selaras dengan matlamat yang ditekankan oleh pihak sekolah. Selain itu, guru yang berkepemimpinan ini juga tidak perlu menunggu arahan daripada pihak atasan bagi menjalankan tanggungjawab sebagai ahli kumpulan kerja. Sebaliknya, beliau mengetahui tugas yang perlu dibuat dan bertindak ke arah matlamat yang hendak dicapai dengan sendirinya.

3) Melalui keahlian jawatankuasa kantin, jawatankuasa PIBG dan lain-lain, guru yang berkepemimpinan berupaya melakukan perubahan dengan memberi sumbangan idea yang baik, dapat diterima pakai dan melakukan tindakan sesudah diberi kuasa sebagai ahli. Contohnya, memberi idea yang dapat diterima pakai memperbaiki mutu perkhidmatan pelanggan di kantin sekolah seperti menukar sistem perkhidmatan kaunter di kantin supaya lebih cepat dan efisien.

Manakala konsep kedua dalam kepemimpinan pula merujuk kepada konsep kerjasama. Konsep ini penting kerana agak mustahil bagi individu yang berketerampilan memimpin dan memajukan institusi tanpa kerjasama daripada individu lain yang mempunyai perkaitan kerja dengannya.

Menurut Liberman (2000), kepemimpinan ialah individu yang membantu rakannnya dalam mencuba idea baru dan memberi dorongan kepada mereka. Kepemimpinan guru bukan sahaja melibatkan kerjasama antara rakan sejawat di sekolah tetapi turut memastikan kejayaan sekolah. Justeru itu, kepemimpinan guru perlu menjalinkan kerjasama antara sekolah dengan masyarakat. Dengan itu, perbincangan dalam tema kepemimpinan guru akan dibahagikan kepada beberapa subtajuk kecil. Antaranya, kepemimpinan guru dalam bilik darjah, kepemimpinan guru menurut pandangan Islam, kompeten kepemimpinan guru, implikasi kepemimpinan guru dan kepemimpinan guru dalam pengajaran dan budaya sekolah.


2.0 KEPIMPINAN GURU DALAM BILIK DARJAH
2.1 Definisi Kepimpinan Bilik Darjah

Menurut Hook dan Vass (2000), kepimpinan bilik darjah merupakan satu set kemahiran di mana guru menggunakan kepimpinannya untuk mengurus dirinya sendiri dan berkomunikasi dengan yang lain. Kemahiran ini juga merupakan satu kebolehan untuk mengaitkan perkara yang berlaku seharian dengan interaksi dua pihak. Di samping itu kemahiran ini turut dikaitkan dengan kebolehan guru untuk menyampaikan visi kepada murid-murid dan menyakinkan pelajar-pelajar tersebut untuk mengikut. Hook dan Vass (2000), juga menyatakan bahawa kepimpinan dalam bilik darjah wujud dalam keadaan berikut.
• Apabila murid-murid mencapai sesuatu yang mereka tidak jangka dapat dicapai di setiap bilik darjah.
• Setiap kali apabila terdapat pertumbuhan positif walaupun sedikit dalam personaliti mereka walaupun sedikit.
• Setiap kali apabila seorang guru mengangkat tangan semua murid dalam bilik darjah menjadi senyap; dan
• Setiap kali murid-murid mengharapkan panduan atau teladan dari seorang guru.
Satu pandangan lain mengenai kepimpinan bilik darjah mengatakan bahawa pemimpin ini tidak terhad kepada guru sahaja malah boleh diaplikasi kepada murid-murid yang diberi kuasa bersama oleh seorang guru. Apa yang diperlukan adalah kesanggupan guru menurunkan kuasa kepada murid. Menurut Wilcox (2005), dalam kepimpinan bilik darjah terdapat kepelbagaian pemimpin yang boleh diwujudkan kerana di dalam bilik darjah itu sahaja ada dua jenis pemimpin iaitu guru kelas atau guru subjek dan juga pelajar yang diberi kuasa untuk memimpin sama ada guru di dalam kelas ataupun tidak.

Dalam pada itu, Hook dan Vass (2000) menyatakan kepimpinan bilik darjah yang berkesan memerlukan memerlukan guru yang memilki kemahiran-kemahiran berikut:
• Boleh mengembangkan keupayaan untuk memahami dan mempunyai visi;
• Mempunyai kemahiran menghasilkan hubungan yang berkesan;
• Memahami tingkah laku dan keinginan murid-muridnya;
• Memahami bilik darjah adalah satu sistem; dan
• Berkebolehan mencari penyelesaian dan menganalisis maklumat.


2.2 Faktor-faktor yang Mempengaruhi Bilik Darjah

Bagi memastikan kepimpinan dalam bilik darjah berfungsi seperti yang diharapkan, faktor-faktor yang mempengaruhi bilik darjah hendaklah diambil kira oleh guru-guru. Menurut Mak Soon Sang (2008), faktor-faktor yang boleh mempengaruhi corak dan suasana interaksi di dalam bilik darjah lazimnya boleh diklasifikan kepada tiga kategori iaitu faktor fizikal, faktor sosial dan faktor emosi.

Faktor fizikal merujuk kepada segala kemudahan dan peralatan yang terdapat di sekolah. Kemudahan ini termasuklah bilik darjah, meja kerusi, papan kenyataan dan sebagainya. Dalam hal ini, bilik darjah yang kondusif mestilah dilengkapi dengan kemudahan peralatan asas seperti papan hitam, papan kenyataan, ruang yang selesa, meja, kerusi untuk guru dan murid, almari yang dihiasi dengan penyediaan bahan-bahan bacaan dan alat bantuan mengajar serta peralatan sokongan. Manakala susunan meja dan kerusi dalam bilik darjah sebaik-baiknya memberi kemudahan kepada murid-murid untuk mengadakan aktiviti pembelajaran berpusatkan murid dan aktiviti berkumpulan. Keadaan seperti ini akan memudahkan pelajar untuk berintraksi sesama mereka dan mudah berintraksi dengan guru.

Papan kenyataan yang dilengkapi dengan jadual waktu jadual bertugas, carta organisasi, pelan keselamatan, sudut mata pelajaran, sudut bacaan atau rujukan, kata-kata motivasi, termasuk kemudahan penggunaan laman web, computer dan CD dan LCD juga akan mempengaruhi bilik darjah sehingga melahirkan pembudayaan bilik darjah yang kondusif. Hasilnya terbentuk suasana yang harmonis, ceria dan semangat kepada murid dan guru untuk berada lebih lama kerana terasa seolah-olah berada dalam rumah sendiri, wujudnya perasaan kerjasama dan kekitaan serta semangat berdikari, iaitu berusaha memajukan diri dan kumpulan secara kolektif. .(Haji Samsudin bin Md Noor, http://www.google.com.my).

Manakala faktor sosial pula merujuk kepada perhubungan dan corak interaksi di antara murid dengan murid khasnya di dalam bilik darjah ( Mak Soon Sang, 2008 ). Pelajar di dalam sesebuah bilik darjah biasanya terdiri daripada latar belakang dan sifat yang berbeza-beza. Perbezaan ini dapat dilihat kerana terdapat juga murid yang mempunyai sifat pendiam atau pemalu atau tidak suka bergaul dengan murid yang lain. Oleh itu guru perlulah bijak merangsang dan menggalakkan perkembangan sosial murid-murdinya dengan menunjukkan sikap yang adil semasa melaksanakan peraturan kelas. Dalam pendekatan memusatkan bahan dalam bilik darjah, interaksi akan berlaku di antara guru kepada murid yang dikenali sebagai komunikasi sehala, interaksi guru dengan murid yang di kenali sebagai komunikasi dua hala, serta interaksi guru dengan murid, murid dengan guru, dan murid dengan murid, yang dikenali sebagai komunikasi pelbagai hala.

Selain daripada itu faktor sosial juga dapat dilihat melalui prosedur ketika menjalankan aktiviti dalam bilik darjah. Dalam hal ini guru perlu menetapkan perkara atau rutin pergerakan yang murid boleh atau tidak boleh lakukan dengan sistematik seperti cara murid memasuki kelas dan keluar seperti ke tandas, cara murid bergerak untuk melakukan tugasan dalam aktiviti berkumpulan dan tidak merayau-rayau dalam kelas serta cara untuk mendapatkan bahan-bahan pembelajaran.

Menurut Mook Soon Sang (2008), faktor emosi pula merujuk kepada perasaan murid-murid terhadap guru mereka. Suasana emosi ini akan menimbulkan jenis-jenis tingkah laku murid yang ditentukan oleh sifat guru dan gaya mengajarnya. Mengikut kajian, suasana emosi bilik darjah yang kondusif biasanya ditimbulkan oleh guru yang mempunyai sifat-sifat seperti penyayang, bertimbang rasa, peramah dan lucu, serta menjalankan tugas dengan bertanggungjawab dan adil, mengamalkan sikap demokrasi dan tidak memilih kasih.

Faktor emosi ini juga dipengaruhi oleh kepimpinan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang terbahagi kepada tiga jenis iaitu gaya kepimpinan autokratik, gaya kepimpinan demokratik dan gaya kepimpinan laisezz-faire. Gaya kepimpinan autokratik meruju kepada gaya kepimpinan guru yang mengawal murid melalui ganjaran dan hukuman sehingga mewujudakan suasan yang tertekan dan tidak menarik serta kurang kondusif. Manakala gaya kepimpinan demokratik merupakan gaya kepimpinan guru yang bertanggungjawab dengan memberikan galakan dan bukannya desakan bagi menghasilkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan menyeronokkan. Gaya kepimpinan laissez-faire pula merujuk kepada gaya kepimpinan yang memberikan kebesan dalam apa jua aktiviti pembelajaran sehingga bilik darjah menjadi tidak terurus, kucar kacir dan menyebabkan perhubungan antara guru dann murid menjadi tidak akrab dan mesra.


2.3 Kepimpinan guru dalam mempengaruhi iklim Bilik Darjah


Hook dan Vass (2000) telah merujuk budaya bilik darjah yang efektif dengan cara mengenal pasti beberapa faktor yang mempengaruhi iklim bilik darjah. Bagi mewujudkan budaya bilik yang efektif guru-guru perlulah menunjukkan kepimpinan dengan mengambil beberapa langkah yang bijak. Langkah ini adalah bertujuan membentuk iklim bilik darjah yang mampu menarik dan membangkitkan minat pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Menurut Hook dan Vass (2000), sekirannya guru-guru dapat menunjukkan kepimpinan yang dapat menarik minar pelajar, proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi menarik dan kondusif. Antara langkah-langkah tersebut ialah:


2.3.1 Mencari keseimbangan antara dorongan dan teguran

Ketika proses pengajaran dan pembelajaran, iklim bilik darjah yang mesra dan harmoni perlu dicipta oleh guru. Ini kerana kebanyakan pelajar adalah suka dipuji dan diberi perhatian. Pelajar akan merasakan dirinya menjadi penting dalam bilik darjah apabila selalu dipuji. Kesilapannya mungkin boleh dimaafkan dan diberi tunjuk ajar dengan sewajarnya. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran pula, sebaik-baik guru boleh berhenti di pertengahan kandungan kurikulum dan menyelingkan beberapa aktiviti menarik. Dengan ini, minat pelajar dapat ditarik untuk meneruskan pembelajaran. Pelajar yang berjaya membuat sesuatu dengan betul juga hendaklah diberikan penghargaan supaya kepuasan diri dalam melaksanakan sesuatu aktiviti dapat ditingkatkan. Dalam hal ini, imej guru juga dapat ditingkatkan malahan pelajar-pelajar akan sentiasa menantikan kehadiran guru tersebut.

2.3.2 Membangunkan Rapport bersama pelajar
Dalam hal ini perhubungan antara guru dan pelajar di dalam bilik darjah perlu diwujudkan bagi memastikan pembelajaran yang berkesan dapat diwujudkan. Situasi seperti ini juga akan mendorong para guru mengamalkan tingkah laku yang lebih efektif dan berkualiti. Perhubungan yang wujud juga akan membawa kepada percubaan guru untuk memahami memahami dunia pelajar dengan tujuan untuk mempengaruhi dan memimpin mereka. Kejayaan memasuki dunia pelajar dapat menghasilkan persefahaman dengan pelajar khususnya pada taraf emosi yang mesra. Keadaan ini akan menyebabkan dua pihak yang saling terlibat akan saling memahami dalam hal berkongsi pengalaman dan saling berkerjasama lantas membawa kepada iklim bilik darjah yang cukup kondusif.


2.3.3 Mengaitkan pelajar dengan harapan

Harapan yang tinggi adalah penting bagi pelajar menuju ke arah pencapaian tugasan dan pembelajaran yang berkesan. Ramai orang percaya harapan merupakan salah satu cara untuk meningkatkan motivasi. Oleh itu, para guru hendaklah memberikan perasaan optimism yang didesak. Keadaan ini adalah penting untuk memastikan kelangsungan kejayaan pelajar dan mencetuskan iklim bilik darjah yang sihat.


2.3.4 Mengekalkan hubungan kerja yang sempurna

Menurut Hook dan Vass (2000), mengekalkan hubungan yang sempurna merupakan proses memperbaiki dan memproses semula. Dalam hal ini personaliti yang berbeza perlu diambli kira dan ianya boleh dilakukan dengan dua cara iaitu guru mesti menunjukkan bahawa beliau tidak menyimpan perasaan dendam tetapi menunjukkan teladan yang berkualiti. Mengikis perasaan dendam terhadap pelajar yang melakukan kesalahan mestilah sinonim dengan sikap guru yang menerima kesilapan yang dilakukan sebagai satu kelainan yang terdapat pada setiap pelajar. Guru seharusnya menunjukkan teladan terutamanya menggunakan kuasa yang diperuntukkan dan jelas dalam pengurusan penyelesaian konflik dalam kalangan pelajar.


2.3.5 Mengambil kira faktor keselamatan dan keyakinan

Aspek keselamatan sangat penting dan perlu diberikan perhatian utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di mana-mana kawasan. Kepimpinan guru dalam bilik darjah perlu menekankan aspek ini. Ini kerana persekitaran yang sihat, bersih dan selamat akan menjamin proses pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja dalam bilik darjah tetapi melibatkan kesemua tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran.

2.3.6 Membantu pelajar merasakan dirinya adalah sebahagian daripada bilik darjah
Pakar psikologi telah menyatakan hasrat inti sari manusia adalah menjadi sebahagian daripada alam sosial dan perasaan intelektual. Oleh itu sebagai pemimpin dalam bilik darjah, guru hendaklah menggerakkan keinginan pelajar untuk melibatkan diri dalam suasana bilik darjah mengikut hasrat hati semula jadi. Dalam hal ini pelajar pada kebiasaannya mengharapkan peranan mereka dipuji dan diperhatikan oleh guru. Oleh itu interaksi dua hala antara guru dan pelajar adalah amat diperlukan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran.

2.3.7 Fokus kepada perkara baik
Dalam hal ini guru hendaklah sentiasa merefleks kepada pergerakan dan percakapan diri. Guru juga harus peka adakah pelajar mengikuti arahan di dalam kelas dan memastikan diri melakukan aksi yang betul. Pada masa yang sama, guru harus mengesan perkara baik yang telah dilakukan oleh pelajar sehingga mencetuskan suasana emosi positif bilik darjah. Sebagai contoh, guru hendaklah memuji pelajar selepas membantu membersihkan dan menyusun radas setelah menamatkan sesuatu eksperimen.

2.3.8 Stail guru
Cara penyampaian dan stail kepimpinan guru di dalam bilik darjah merupakan aspek utama bagi menghasilkan iklim pembelajaran yang berkesan dalam bilik darjah. Perkara ini termasuklah suara guru yang perlu sesuai, lantang dan jelas dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu sikap positif dan berekspektasi tinggi yang dipaparkan oleh seorang guru akan membawa pelajar ke arah kecemerlangan dalam aspek emosi, psikomotor dan afektif. Cara kepimpinan guru demokratik yang menekankan kepada kerjasama, berinisiatif serta bertoleransi juga mampu membimbing pelajar kepada nilai-nilai positif. Penggunaan pujian dalam bilik darjah turut menghasilkan peneguhan positif kerana pelajar yang sering dipuji akan berasa seronok dan bermotivasi tinggi dalam sesuatu pelajaran.

2.4 Menjadi pemimpin pengajaran yang berkesan di dalam Bilik Darjah

Glickman (1990), menyatakan bahawa kepimpinan pengajaran hanya akan dapat dijalankan sekiranya pemimpin atau guru tersebut memiliki tiga ciri utama iaitu pengetahuan yang mendalam, tugasan dan keperluan kemahiran. Sebagai contoh, seorang guru yang mengajar mata pelajaran Sains hendaklah menguasai keperluan yang mendalam dalam bidang ini untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah berjalan dengan lancar. Apabila pelajar mengemukakan soalan guru dapat memberi respon yang positif dan memenuhi keperluan ingin tahu pelajar lantas memupuk keyakinan dalam diri pelajar. Dalam aspek tugasan pula, guru seharusnya menekankan matlamat tugasan, manakala para pelajar pula patut mengetahui prosedur menuntut ilmu dengan penemuan diri.

Bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan baik guru sebagai pemimpin dalam bilik darjah sewajarnya memiliki kemahiran interpersonal dan kemahiran teknikal. Kemahiran interpersonal merupakan keupayaan meneka mood, tujuan motivasi dan perasaan orang lain. Dalam hal ini, guru yang berada dalam bilik darjah harus peka kepada air muka, suara dan pergerakan badan pelajar. Kebolehan dan keprihatinan guru mengecam dan mengenal sifat pelajar di dalam kelas akan memudahkan guru mengecam dan mengenal sifat pelajar di dalam kelas lantas memudahkan guru untuk memupuk suka dalam kalangan pelajarnya.

Kemahiran teknikal pula merujuk kepada keupayaan guru dalam pengurusan alat bantu mengajar seperti computer, projector LCD, carta dan sebagainya. Ini kerana proses dengan penggunaan alat bantu mengajar suasana bosan dan tidak bermaya dapat dielakkan dalam ketika proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas sedang berlangsung. Kemahiran guru dalam menggunakan alat bantu ini juga akan memudahkan lagi dan mampu menimbulkan minat pelajar untuk belajar.



2.5 Membentuk agenda Bilik Darjah

Agenda dalam bilik darjah adalah sangat penting dalam menentukan implementasi kepimpinan bilik darjah. Pembentukan agenda bilik darjah yang sesuai adalah penting untuk membentuk iklim bilik darjah yang sihat untuk pembangunan akademik dan sosial pelajar. Menurut Hook dan Vass (2000), terdapat empat kunci utama utama dalam agenda bilik darjah iaitu hak, tanggungjawab, peraturan dan rutin.

2.5.1 Hak guru dan pelajar
Ketika mengaplikasi teori kepimpinan di dalam bilik darjah, guru memerlukan respon yang jelas, yang boleh disampaikan, yang berkerangka untuk membuat satu keputusan ke atas tingkah laku pelajar. Kerangka tersebut merupakan kerangka yang boleh diterima dan difahami oleh pelajar dalam situasi tertentu. Keputusan yang telah dibuat hendaklah berdasarkan pertimbangan atas had yang telah disokong atau dilanggar dari segi empat hak asasi pelajar, iaitu:
• Hak pelajar untuk belajar;
• Hak guru untuk mengajar;
• Hak setiap individu untuk aspek keselamatan ( fizikal dan psikologi); dan
• Hak setiap individu untuk taraf penghormatan dan kemuliaan.

Berdasarkan kepada hak asasi tersebut, pengurusan tingkah laku dalam kelas adalah terpulang kepada hak guru. Dengan ini guru dapat mengatasi kekeliruan yang timbul dalam bilik darjah. Dalam pada itu, guru juga dapat mengatasi tanggungjawab profesionalisme kerana berkuasa ke atas perlindungan hak individu dalam aspek keselamatan. Dengan ini pelajar akan berasa lebih selamat sebelum menjalani proses pengajaran yang berkesan.


2.5.2 Tanggungjawab

Tanggungjawab guru dalam bilik darjah lebih memokuskan kepada tingkah laku pelajar untuk membuat keputusan atau pemilihan positif. Sebagai seorang guru, usaha mendorong pelajar untuk memilih tingkah laku yang bertanggungjawab kea rah kepimpinan bilik darjah yang berkesan adalah rumit. Oleh itu, guru harus sentiasa mendorong pelajar supaya bertanggungjawab ke atas kelakuan dan usaha diri demi mencapai kejayaan yang diingini.


2.5.3 Peraturan
Semasa di sekolah guru-guru hendaklah sentiasa menekankan kepentingan peraturan sekolah. Semasa proses pengajaran dan pengajaran guru perlu menekankan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh pelajar. Antara peraturan tersebut;
• Mengikuti arahan guru
• Menjaga dan memerhatikan tangan, kaki, dan harta benda diri; dan
• Jangan mengantuk, memanggil nama orang lain, bergerak sesuka hati dan sebagainya.
Peraturan pertama adalah bertujuan untuk memastikan guru dapat mengajar dan pelajar dapat belajar dalam suasana yang sesuai. Peraturan kedua pula bertujuan untuk menjamin keselamatan fizikal dan psikologika dan yang ketiga adalah untuk menjaga hak dari segi kehormatan dan kemuliaan. Ketiga-tiga peraturan ini sewajarnya dijadikan panduan oleh para guru. Selain itu, guru juga harus memastikan para pelajar dapat memahami kehendak peraturan ini. Kata-kata ini boleh dipaparkan di mana-mana sudut bilik darjah yang senang dibaca. Akhir sekali guru harus memastikan pelajar mematuhi peraturan ini demi kepentingan mereka.

2.5.4 Rutin
Rutin merupakan satu perkara yang berbeza dengan peraturan kerana mengutamakan aspek pentadbiran dan prosedur yang diperlukan supaya suasana bilik darjah tidak menjadi kacau bilau. Rutin merupakan satu set perilaku yang perlu dibuat untuk membantu kejayaan pelajar. Rutin bilik darjah merujuk kepada aktiviti-aktiviti bilik darjah seperti menanda jadual kedatangan, menyemak keadaan fizikal bilik darjah, mengedar alat bantu mengajar mengutip dan memulangkan buku latihan dan sebagainya. Sekiranya rutin ini dapat diuruskan dengan sistematik, masa dan tenaga dapat dijimatkan dan disiplin pelajar dapat dipertingkatkan. Rutin yang teratur ini akan menjamin kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan.



3.0 KEPIMPINAN DAN PERANAN GURU DALAM PERSPEKTIF ISLAM

3.1 Kepemimpinan dalam Islam

Menurut perspektif Islam, kepimpinan adalah amanah yang wajib ditunaikan. Pemimpin pula ialah orang yang memandu dan mengajak orang lain ke arah kebahagiaan, mendapat keredhaan Allah, membuat segala suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya (Ibrahim Mamat, 1997:110). Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran ayat 110:


“Kamu (wahai Muhammad) adalah sebaik-baik umat dilahirkan bagi manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat baik dan melarang daripada perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”.

Intipati ayat di atas memberikan gambaran yang jelas tentang kedudukan pendidik sebagai pemimpin. Dalam pada itu, mereka bertanggungjawab dalam menyampaikan ilmu dan membina perkembangan manusia sebagai amanah Allah untuk membawa manusia ke jalan kebenaran. Hal ini dapat kita jelaskan sebagaimana yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. ketika menerima wahyu pertama, Baginda telah diajar dan dibimbing oleh malaikat Jibril a.s selaku guru kepada Baginda.

Sehubungan itu, kepemimpinan dalam Islam sifatnya adalah bersepadu, iaitu kepemimpinan yang menitikberatkan keseimbangan di antara roh dan jasad, pembangunan antara spiritual dan material bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat (Andek Masnah, 1999). Pendidik yang mempunyai kefahaman yang jelas terhadap pelaksanaan keperluan insan secara sepadu ini akan membuahkan hasil ke arah matlamat yang ingin dicapai. Di samping itu, kewibawaan pemimpin adalah perlu untuk membawa ke arah kecemerlangan ummah. Dua prinsip kepimpinan yang telah digariskan oleh Ibn Taimiyyah (1999) iaitu prinsip kepimpinan al-Quwwah (berwibawa) dan al-Amanah (takut kepada Allah s.w.t.).

Peristiwa dan paparan sejarah telah banyak menampilkan keunggulan beberapa tokoh kepeimpinan Islam seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Usman Ibn Affan, Umar Ibn Abdul Aziz dan lain-lain. Tokoh-tokoh Islam ini sentiasa mengamalkan sifat taqwa, amanah, jujur dan ikhlas dalam kepimpinan mereka. Oleh itu, sifat-sifat inilah yang menjadi qudwah dan contoh teladan terbaik kepada masyarakat (Kamaruddin Zakaria, 2000). Sejarah juga telah membuktikan bahawa para sahabat generasi awal yang taat kepada Allah s.w.t ini telah berjaya membangunkan diri menjadi individu yang cemerlang sehingga mereka telah diiktiraf oleh Allah s.w.t sebagai sebaik-baik umat (Nor Hayati Alwi, 2002).

Kenyataan ini membuktikan bahawa kepimpinan Islam amat mementingkan persoalan akhlak, sifat-sifat mulia, kemampuan dan kewibawaan dalam memimpin ummah. Menurut Aminuddin Mohd. Yusuf (1990) pula, pemimpin yang menjadi model kepada yang dipimpin seharusnya mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam aspek tertentu untuk melayakkan dirinya sebagai pemimpin yang terbaik dan berwibawa. Lantaran itu, ilmu pengetahuan adalah aset penting untuk mamastikan wujudnya kualiti kepimpinan. Seterusnya, pendidik yang kaya dengan ilmu akan dapat memberi keyakinan kepada pelajar sehingga martabat pendidik dianggap sebagai ulamak.

Pendapat di atas ini telah diperkukuhkan lagi oleh Zawawi Ahmad (1991) yang menjelaskan bahawa pendidik berperanan sebagai pemimpin, pembimbing dan pengajar masyarakat. Mereka diharapkan dapat memimpin generasi muda ke arah kehidupan yang selamat dan sejahtera. Menurut beliau, pendidik juga seharusnya melaksanakan konsep kepimpinan melalui teladan.

Hadari Nawawi (1993) turut menyatakan bahawa kepimpinan pendidik yang lebih mantap dan efektif adalah melalui beberapa ciri berikut antaranya:
• Sikap dan perilaku pendidik yang baik.
• Akhlak yang terpuji dan baik.
• Kemampuan menggerak terhadap pimpinannya.
• Kemampuan dalam memotivasikan pimpinannya.

Tegasnya, Islam sangat memandang berat terhadap tugas dan tanggungjawab pendidik sebagai pembimbing dan pemimpin untuk penyampaian ilmu. Tugas pendidik bukan sahaja mengajar, menimba ilmu atau memberi ilmu, malah mendidik dan memimpin generasi ke arah kehidupan yang sejahtera.

Pada dasarnya, kepimpinan pendidikan Islam telah lama wujud dalam kepimpinan Islam dan telah dipraktikkan oleh Rasullullah s.a.w. dalam mendidik dan memimpin umat Islam, khususnya para sahabat. Dengan itu, konsep kepimpinan pendidikan Islam telah dijadikan model dan platform kepada teori kepimpinan pendidikan yang dihasilkan oleh pakar-pakar sepanjang zaman. Tambahan itu, sejarah telah membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w. sebagai pembawa risalah, sekaligus sebagai pendidik dan pemimpin yang unggul. Kepimpinan Islam dapat dirujuk melalui kepimpinan Rasulullah s.a.w. sebagai ikutan yang terbaik kerana pada diri Baginda terdapat segala contoh dan teladan yang baik dalam semua aspek kehidupan (Ibrahim Mamat 1997:110). Hal ini sesuai dengan sabda Baginda dalam hadisnya yang bermaksud, “Sesungguhnya diutuskan aku untuk menyempurnakan akhlak yang mulia” (Riwayat al-Bukhari).

Di samping itu, keagungan kepimpinan Rasulullah s.a.w. jelas terbukti melalui kegemilangan usaha Baginda sebagai pendidik dan pemimpin yang berjaya membawa umatnya dari kegelapan kepada kesejahteraan ummah. Meskipun usaha Baginda ini memakan masa selama 23 tahun, namun matlamat untuk membina, mendidik dan melahirkan generasi Islam yang unggul dapat berkembang sehingga ke hari ini. Matlamat pendidik Muslim bertepatan dengan ciri kepimpinan Rasulullah s.a.w. dalam proses mendidik dan memimpin ummah ke arah ummah yang berilmu dan sejahtera. Para ilmuan terdahulu telah menjelaskan bahawa kejayaan kepimpinan Rasulullah s.a.w. adalah dengan melaksanakan pelbagai kaedah dan amalan seperti bersifat penyabar, prihatin, bersikap adil, tulus dan memimpin secara praktikal iaitu melalui contoh teladan (Ibrahim Mamat 1997: Ab. Halim 2002). Oleh yang demikian, ciri-ciri inilah seharusnya dicontohi oleh setiap pendidik hari ini dalam melaksanakan proses mendidik untuk melahirkan insan yang mulia.

Berdasarkan kepada kajian kepimpinan pendidikan, golongan pendidik disarankan agar melaksanakan ciri-ciri kepimpinan yang baik dan berkualiti seperti yang diamalkan oleh Nabi Muhammad. Namun, realiti ini masih belum berlaku dalam kalangan pendidik zaman sekarang. Dalam hal ini, konsep mendidik, membimbing dan memimpin telah semakin luntur disebabkan terlalu memberi fokus kepada pemindahan penyampaian ilmu dan maklumat, penekanan prestasi akademik dan berorientasikan peperiksaan semata-mata (Zainal Abidin Kadir 1994, Wan Mohd Zahid Nordin 1993, Zahrah Bahran 1997). Keadaan ini membuktikan bahawa sebahagian pendidik atau guru pada hari ini masih belum mampu untuk mewujudkan kepemimpinan yang berwibawa dan berkualiti.

Sehubungan itu, kewibawaan pendidik atau guru Muslim adalah sangat penting dalam melaksanakan usaha mendidik dan memimpin pelajar secara lebih berkesan. Misalnya, pendidik haruslah menerapkan sifat-sifat keunggulan dan keluhuran Rasulullah s.a.w. dalam diri mereka agar dapar menjadi role model kepada para pelajar dan dapat membentuk sifat terpuji dalam diri setiap pelajar. Dalam pada itu, didapati masih ramai pendidik pada hari ini tidak mampu menjadikan dirinya sebagai role model terbaik kepada pelajar, malah tidak dapat menerapkan nilai-nilai mulia ke dalam diri pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran (Ab. Halim Tamuri 2000). Kesannya, Pendidikan Islam gagal untuk dihayati dan diamalkan dalam kehidupan mereka. Kegagalan pendidik dalam memperkasa nilai-nilai murni dan sifat mahmudah ke dalam diri pelajar menjadi faktor krisis akhlak dan disiplin pelajar yang semakin meruncing. Oleh itu, para pendidik seharusnya menyedari perkara ini dalam membina kekuatan diri sebagai pendidik dan pemimpin yang terbaik. Tegasnya, pendidik Muslim hendaklah melaksanakan kepimpinan pendidikan berteaskan kepada kepimpinan Rasulullah s.a.w. demi kesejahteraan dan kegemilangan ummah.

Kenyataan di atas membuktikan bahawa pendidik perlu memiliki ciri dan sifat-sifat keluhuran dan keterampilan diri untuk dijadikan contoh yang baik kepada pelajar dan masyarakat. Hal ini kerana, kegagalan menampilkan ciri-ciri tersebut akan membantutkan keunggulan ummah dan secara tidak langsung akan merendahkan martabat golongan pendidik agama sebagai golongan ulamak yang berwibawa. Oleh itu, peranan dan kepimpinan pendidik bukan sekadar melaksanakan tugas pengajaran dalam kelas atau dewan kuliah, malah memberi makna yang lebih luas ke arah perubahan yang lebih baik terhadap individu menurut pandangan Islam. Selain itu, bagi mempamerkan keunggulan kepimpinan pendidik Muslim, tingkah laku dan ciri-ciri kemuliaan haruslah diamalkan.

3.2 Definisi guru dalam Islam

Menurut Dr. Ahmad Tafsir, dalam bukunya “Ilmu Pendidikan dalam Perspektif Islam”, pendidik dalam Islam ialah sesiapa sahaja yang bertanggungjawab terhadap perkembangan anak-anak didiknya. Dalam Islam, orang yang paling bertanggungjawab ialah ibu bapa kepada anak didiknya. Hal ini kerana, ibu bapa telah ditakdirkan menjadi orang tua kepada anaknya dan dipertanggungjawabkan untuk mendidik anaknya. Selain itu, ibu bapa bertanggungjawab terhadap perkembangan anaknya.

Manakala menurut Dr. Abuddin Nata dalam buku “Perspektif Islam tentang Pola Hubungan Guru-Murid”, pendidik dalam Islam ialah Guru. Dalam bahasa Arab, istilah yang merujuk kepada pengertian guru lebih banyak lagi seperti al-Alim (jamaknya ulama) atau al-Mu’allim, yang bererti orang yang mengetahui. Selain itu, terdapat juga sebahagian ulama yang menggunkan istilah al-Mudarris yang bermaksud orang yang mengajar atau orang yang memberi pelajaran. Seterusnya, terdapat pula istilah ustadz bagi merujuk kepada guru yang khusus mengajar bidang pengetahuan agama Islam. Secara ringkasnya, guru yang dimaksudkan di sini ialah pendidik yang memberikan pelajaran kepada murid dan biasanya guru adalah pendidik yang memegang mata pelajaran di sekolah.

3.3 Peranan guru sebagai seorang pemimpin dalam Islam

Dalam merealisasikan dan melahirkan guru yang mempunyai kepemimpinan berwibawa dan unggul, beberapa peranan penting haruslah dimainkan oleh seseorang pendidik terutamanya dalam kalangan pendidik Islam. Hal ini kerana, Muhammad Uthman el-Muhammady (1991 dalam Ahmad Mohd Salleh, 1997) mengatakan, walaupun sesuatu sistem pendidikan itu dikatakan baik, tetapi guru yang mengajar bukan guru yang berkesan bermakna apa yang disampaikan atau diajar tidak akan difahami oleh pelajar dan seterusnya matlamat pengajaran sukar untuk dicapai. Oleh itu, guru-guru khususnya guru pendidikan Islam perlulah memperkukuhkan lagi peranan mereka dalam merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Guru. Peranan guru pendidikan Islam ini terbahagi kepada lima kategori seperti:

1) Sebagai mu’allim (Ab. Halim Tamuri et.al., 2004; Ahmad Mohd Salleh, 1997; al-Shaybani, 1979; Bahagian Pendidikan Guru, 2001; Zawawi Hj. Ahmad, 1984).
2) Sebagai murabbi (Ab. Halim Tamuri et.al., 2004; Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001).
3) Sebagai mu’addib (Ab. Halim Tamuri et.al., 2004; Ahmad Mohd Salleh, 1997; Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001).
4) Sebagai mursyid (Ab. Halim Tamuri et.al., 2004; Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001).
5) Sebagai da’i atau pendakwah (Wan Bakar Wan Dagang, 1991).

3.3.1 Guru sebagai Mu’allim
Mu’allim adalah kata nama yang berasal dari kata terbitan ta’lim (pengajaran). Menurut Tengku Ghani Tengku Jusoh (2002), al-ta’lim mempunyai dua pengertian iaitu, yang pertama ialah mengajar dan yang kedua ialah menjadikan seseorang individu memiliki ilmu pengetahuan; dan proses tersebut berlaku secara berperingkat-peringkat. Ta’lim ini juga dikatakan sebagai proses menguasai ilmu yang meningkatkan manusia daripada taraf haiwan kepada taraf manusia. Manusia sememangnya memiliki sifat-sifat yang turut dimiliki oleh haiwan seperti mempunyai hawa nafsu, bermusuhan, sukakan kebendaan dan pada masa yang sama mereka mempunyai sifat mereka sendiri seperti berakal, beriman, bijaksana dan sebagainya (Saedah Siraj, 2001).

Dalam sistem pendidikan yang sedia ada, para guru hendaklah memperkemaskan peranan mereka dalam memberi ilmu kepada pelajar. Hal ini kerana, ilmu tersebut sangat penting untuk dijadikan panduan oleh pelajar dan juga sebagai perisai kehidupan bagi mengawal unsur-unsur negatif yang ada pada diri seseorang pelajar. Selain itu, dalam pembangunan bangsa yang berasaskan ilmu, guru bukan sahaja berperanan membentuk akhlak pelajar, mereka juga berperanan sebagai mu’allim yang perlu memberi tumpuan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan (Wan Mohd. Wan Daud, 1991). Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru sewajarnya mempunyai niat yang ikhlas; mengetahui dasar-dasar pendidikan dan strategi mengajar yang berkesan; memberi rangsangan motivasi kepada para pelajar dan memahami kaedah-kaedah pengurusan bilik darjah yang berkesan untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran sesuai dengan peranannya sebagai mu’allim.

Di samping itu, dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlulah mengajar pelajar dengan niat untuk melahirkan atau membentuk palajar yang beriman dan taat kepada perintah Allah s.w.t. seterusnya dapat menyelamatkan mereka daripada azab api neraka. Sebaliknya, mengajar bukan semata-mata kerana ingin mendapatkan upah atau sebarang ganjaran di dunia, tetapi bertujuan mendekatkan diri kepada Allah. Selain itu, guru dalam pandangan Islam haruslah berusaha meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan; sentiasa mencari pendekatan pengajaran yang boleh menimbulkan minat pelajar serta menanam minat dan penghayatan terhadap agama; cintakan agama; mewujudkan ciri-ciri tamadun Islam di dalam dan di luar sekolah dan meningkatkan kecekapan ikhtisas (Wan Bakar Wan Dagang 1991).

3.3.2 Guru sebagai Murabbi
Murabbi berasal daripada kata terbitan tarbiyyah yang bermaksud pendidikan. Menurut Ghani Tengku Jusoh (2002), tarbiyyah bermaksud mencurahkan kasih sayang, memelihara, mendidik, mengembangkan, menyuburkan dan membesarkan. Dalam perspektif Islam, peranan guru sebagai murabbi melibatkan proses mendidik, memelihara dan membentuk pelajar sehingga wujud perasaan kasih sayang dan saling percaya mempercayai antara mereka. Antara ciri guru murabbi adalah seperti menyayangi pelajar dan memperlakukan mereka seperti anak sendiri; sentiasa menasihati pelajar dalam segala hal termasuk pembelajaran dan perlakuan mereka; dan menjaga disiplin pelajar dengan menggunakan pendekatan mencegah dan menegur secara baik terhadap perlakuan maksiat dan juga menggalakkan perlakuan makruf secara kasih sayang. Bagi Ahmad Salleh (1997) pula, antara ciri-ciri guru murabbi adalah seperti mengutamakan keselamatan dan kebajikan pelajar; bersikap adil terhadap pelajar tanpa mengira latar belakang keluarga, keupayaan akademik dan ekonomi; merahsiakan maklumat sulit pelajar kecuali kepada yang berhak; dan bersedia membimbing pelajar serta menunjukkan cara berpakaian, pertuturan dan tingkah laku sebagai contoh yang baik kepada pelajar.

3.3.3 Guru sebagai mu’addib
Salah satu peranan utama guru adalah bertindak sebagai mu’addib (Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1980; Zawawi Hj. Ahmad, 1984). Syed Muhammad Naquib al-Attas (1979) lebih menekankan peranan guru sebagai mu’addib berbanding dengan mu’allim dan murabbi. Beliau telah menggunakan perkataan ta’dib untuk menjelaskan erti pendidikan. Abdul Raof Dalip (1985, 1993) dan ‘Ulwan (1989) mengatakan guru-guru dalam kategori ta’dib perlu sedar dan insaf bahawa mereka sebenarnya menjadi ikutan dan teladan pelajar dan hendaklah menanamkan kepercayaan yang benar di dalam jiwa pelajar; mendedahkan dan memahamkan pelajar mengenai jenis-jenis ibadah yang wajib dilaksanakan; dan menaikkan semangat pelajar serta menimbulkan minat mereka untuk mempraktikkan ajaran agama sehingga menjadi kebiasaan kepada mereka.

Menurut Husain Mazhahiri (1993), Ibrahim Amini (1997) dan ‘Ulwan (1989), sebagai mu’addib, guru mestilah memiliki sifat-sifat terpuji. Antara sifat terpuji yang paling utama adalah zuhud dalam proses mendidik. Dalam hal ini, guru yang mendidik bukan kerana inginkan balasan bersifat kebendaan seperti wang, pangkat dan kehormatan masyarakat, tetapi semata-mata bertujuan untuk mendapat keredhaan Allah. Walaubagaimanapun, Husain Mazhahiri (1993) dan Ibrahim Amini (1997) mengatakan dalam soal menerima balasan kebendaan (upah atau gaji) dalam proses mendidik pelajar, tidak bermakna guru tidak boleh menerima ganjaran daripada usaha mereka. Perkara penting yang ditekankan di sini ialah kemuncak matlamat kerja yang dilakukan seharusnya tidak wajar diukur berdasarkan kepada pencapaian kebendaan kerana ia akan membahayakan pencapaian diri sendiri. Hal ini kerana, menyampaikan sesuatu kebenaran atau ilmu Allah merupakan tugas dan tanggungjawab mereka. Selain itu, terdapat juga beberapa sifat mu’addib yang telah disenaraikan oleh Husain Mazhahiri (1993) dan Ibrahim Amini (1997). Antaranya adalah seperti mempunyai jiwa yang bersih daripada segala kekotoran (dosa) seperti sifat riak, hasad, ujub dan pemarah. Selain itu, guru perlu memiliki kebersihan lahiriah seperti daripada segi amalan pemakanan yang bersih dan suci; menjaga kebersihan diri; mamakai pakaian yang bersih dan berperibadi mulia. Secara ringkasnya, para guru perlu manjaga kehebatan dan kehormatan diri mereka pada pandangan masyarakat. Hal ini boleh dilaksanakan dengan menjaga peribadi, bersikap merendah diri dan tahu mengambil hati orang lain. Guru juga tidak boleh terlibat dalam suasana yang boleh menjatuhkan maruahnya sama ada dalam cara berpakaian, perbuatan dan percakapan (Muhammad Uthmani el-Muhammady, 1991 dalam Ahmad Mohd Salleh, 1997). Oleh itu guru hendaklah menyediakan diri mereka sebagai qudwah hasanah (model terbaik) kepada pelajar kerana sifat tersebut merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w.

3.3.4 Guru sebagai mursyid
Istilah mursyid sinonim dengan perkataan ahda yang bermaksud memberi petunjuk. Manakala dalam Kamus Dewan (2002), mursyid didefinisikan sebagai guru agama, pemimpin dan taat kepada perintah Allah. Sehubungan itu, guru mursyid ini juga boleh berperanan sebagai guru yang sedia menjadi seorang penasihat yang ikhlas. Al-Ba’labakki (1995) dalam Al-Mawrid mendefinisikan penasihat yang ikhlas dalam bahasa Inggeris dipanggil mentor. Oleh itu, beberapa aspek peranan guru mursyid boleh dilihat dalam layanan seorang mentor kepada pelajar-pelajarnya. Kajian ke atas konsep mentor oleh Bova dan Philips yang dirumuskan oleh Saedah Siraj et al. (1996) menunjukkan mentor memiliki status sebagai seorang yang memiliki status yang agak tinggi dan sedia memberikan bimbingan sepenuhnya; tokoh pemindah yang berperanan untuk perkembangan seseorang iaitu gabungan peranan ibu bapa dan rakan sebaya; model contoh dan penasihat kepada pelajar; bersifat murah hati, ikhlas, penyayang, mengambil berat terhadap orang lain, pendengar yang baik dan mencurahlan rasa hati; bersifat sentiasa menerima dan bertanggungjawab; berkongsi impian dengan anak didik dan membina persepsi kendiri yang ceria; dan sebagai orang yang sangat berpengaruh terhadap anak didiknya.



4.0 KOMPETEN KEPIMPINAN GURU


Dalam membincangkan mengenai kompeten kepimpinan guru ini, Clark ( 1997 ) telah menggariskan 8 intipati yang penting iaitu:


4.1.1 Memiliki ilmu pengetahuan yang luas, mendalam dan terkini

Ilmu pengetahuan merupakan perkara asas yang seharusnya ada dalam diri seseorang guru yang akan mengajar di sesebuah sekolah. Namun walaubagaimanapun jika ilmu pengetahuan yang ada hanyalah ilmu pengetahuan yang sedikit, ilmu tersebut tidak akan mendatang apa-apa kelebihan tetapi hanya akan mendatangkan masalah kepada guru dalam proses pembelajaran. Oleh itu, seseorang guru haruslah memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang luas, mendalam dan terkini sebelum melangkah masuk ke sekolah untuk memulakan sesi pembelajaran. Kelengkapan ilmu pengetahuan yang mendalam ini adalah amat penting kerana kekurangan yang ada dalam diri guru akan mengakibatkan kurangnya keyakinan terhadap diri sendiri dan sekaligus akan mencacatkan penyampaian maklumat kepada murid. Bagi pihak murid pula kegagalan penyampaian guru dalam pembelajaran akan menghilangkan kepercayaan mereka terhadap guru tersebut.

Keadaan sebaliknya akan berlaku jika guru memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang luas kerana penguasaan ilmu pengetahuan oleh guru akan mewujudkan pembelajaran yang berkesan dan efektif sewaktu berada di dalam kelas. Ini sekaligus akan meningkatkan keyakinan dalam diri dan juga keyakinan pelajar terhadap guru mereka. Selain daripada itu, pengetahuan guru terhadap fizikal dan psikologi pelajar juga amat dititikberatkan dan penting. Ilmu pengetahuan mengenai teori pedagogi juga amat penting dan harus dikuasai oleh seseorang guru supaya penyampaian ilmu pengetahuan kepada murid dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan menarik.


4.1.2 Cekap menggunakan sumber

Peggunaan bahan secara cekap dalam menggunakan segala bahan yang ada dengan kadar yang optimum perlu ada dalam diri setiap guru. Kemahiran ini amat penting untuk mendapatkan maklumat, melakukan analisis, kemahiran dalam perancangan dan mengelolakan sesuatu rancangan ataupun program serta pengurusan perbelanjaan dan kewangan supaya tidak berlaku sebarang pembaziran. Sejajar dengan perkembangan dunia teknologi yang ada pada hari ni harus digunakan secara meluas oleh setiap guru untuk mengakses maklumat sebagai pemangkin bagi kaedah pengajaran sewaktu di dalam kelas. Dengan ini, guru seharusnya merebut peluang sedia ada untuk memajukan dan melengkapkan diri dalam pengguna ICT agar dapat menggunakan untuk kepentingan diri dan murid-murid.


4.1.3 Memiliki budaya dan jati diri

Guru yang memiliki budaya dan jati diri penting bagi kepimpinan guru untuk membolehkannya menghadapi cabaran dalam pengurusan diri sewaktu dalam proses pengajaran di dalam kelas. Seseorang guru juga seharusnya mempunyai daya saing, daya tahan, daya juang yang tinggi, daya saring dan daya tekal. Guru juga harus berani untuk memikul dan mengambil tanggungjawab pada kehidupan dan juga kerjaya. Selain itu, guru juga harus mempunyai dan sentiasa mengekalkan integriti dan etika seorang guru walaupun men$galami tekanan yang besar. Ini akan menunjukkan lagi piawaian diri bagi seseorang guru tersebut. Menerima teguran dengan hati yang terbuka serta bersedia untuk memperbaiki kesilapan dan kelemahan yang ada dan juga bersedia untuk menerima sebarang tanggungjawab juga merupakan jati diri yang wajib ada dalam setiap guru. Guru yang berkepimpinan baik hendaklah sentiasa bercita-cita tinggi dan berusaha untuk mencapai objektif pembelajaran, segala tugasan yang diberikan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa meletakkan kepentingan organisasi mengatasi kepentingan diri.

4.1.4 Berwawasan
Pada abad ke-21 ini menyaksikan pelbagai cabaran yang harus dipikul oleh guru-guru dan ini memerlukan kepimpinan yang tinggi untuk menghadapi setiap cabaran dan dugaan yang datang. Guru yang mempunyai pandangan yang jauh, mempunyai misi yang jelas, semangat dan daya saing yang tinggi, mempunyai pemikiran dan tindakan yang strategik serta keupayaan mengimbangi antara tuntutan kehidupan dan kerjaya merupakan kriteria kepimpinan seorang guru yang cemerlang dan amat diperlukan dalam sesebuah sekolah. Selain daripada itu, seseorang guru tersebut juga harus mempunyai azam dan komitmen yang tinggi serta bersedia meningkatkan kemahiran-kemahiran kepimpinan yang diperlukan bagi menghadapi cabaran-cabaran mendatang sesuai dengan peredaran zaman pada masa sekarang.


4.1.5 Mengamalkan budaya beretika

Budaya beretika juga harus disemai dalam diri setiap guru yang akan mengajar di sesebuah sekolah. Amalan etika yang baik seperti menjaga perpaduan, penyayang, kerja berpasukan, bersopan santun, berdisiplin, hidup sihat, jujur dan ikhlas merupakan amalan ataupun etika yang perlu ada dalam diri setiap guru. Dengan adanya etika seperti ini, kepimpinan guru akan lebih terserlah. Menurut Leithwood dan Jantzi ( 1998 ), jika seseorang individu mengharapkan orang lain mengubah sikap, individu itu sendiri juga haruslah mengubah sikapnya terlebih dahulu. Seseorang guru juga mestilah mempunyai kemahiran dalam melihat perbezaan budaya sekaligus bersikap terbuka untuk menilai perbezaan itu secara jujur dan okjektif.

Kemahiran dalam memahami kepelbagaian budaya ini akan membolehkan guru sentiasa bersedia untuk berhubung, berinteraksi serta berkerjasama dengan pengikutnya yang mungkin berasal dari pelbagai kaum dan bangsa yang perbezaan dari segi budaya antara satu sama lain. Disamping itu juga, kemahiran dalam mengendalikan gerak kerja secara berkumpulan perlu dikuasai untuk menunjukkan sifat kepimpinan yang dimiliki oleh seseorang guru. Penguasaan kemahiran mengendalikan kerja secara berkumpulan juga akan membolehkan guru menghadapi cabaran-cabaran yang datang disamping dapat membentuk suasana persekitaran yang selesa yang akhirnya menjadi pemangkin kepada usaha untuk mencapai matlamat yang berkesan.


4.1.6 Mahir berkomunikasi dengan berkesan

Adalah satu kawajipan dalam setiap guru memiliki kemahiran berkomunikasi. Ini adalah kerana kemahiran berkomunikasi ini merupakan penentu kepada keberkesanan penyampaian dan penukaran maklumat kepada pelajar. Kemahiran berkomunikasi ini juga penting bagi guru untuk meningkatkan kefahaman kepimpinan guru dalam pelbagai cabaran dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi sama ada komunikasi berbentuk formal ataupun berbentuk informal. Namun begitu, tidak lengkap jika mempunyai kemahiran berkomunikasi sahaja. Guru juga harus mempelajari cara untuk menggunakan pelbagai medium komunikasi. Ini merupakan cabaran bagi guru-guru untuk mengguna alat-alat komunikasi yang moden terutama dalam arus globalisasi ini.

4.1.7 Sentiasa memantau dan menilai perkembangan setiap program dan organisasi
Nathan ( 2001 ), menjelaskan bahawa berlaku perubahan dari segi kepimpinan sekolah akibat daripada perkembangan dan kemajuan yang telah dicapai apabila kepimpinan sekolah telah berubah secara progresif daripada model lama kepada satu model baru yang turut memberi kawalan kepada guru. Kemahiran memantau dan menilai perkembangan setiap program dan organisasi juga perlu dikuasai sejajar dengan kemunculan alaf baru ini. Kefahaman dan penghayatan dalam pada keluruhan misi dan nilai-nilai organisasi adalah perlu difahami oleh guru agar dapat memastikan setiap tindakan yang diambil oleh pelajar sentiasa berada dibawa pemantauannya. Kefahaman seseorang guru itu juga seharusnya secara menyeluruh ke atas setiap organisasi yang diwakilinya. Adalah perlu seseorang guru mempunyai keupayaan dan kemahiran dalam melakukan tindakan yang strategik untuk memastikan kelansungan, perkembangan dan pertumbuhan program dan organisasi. Sebagai contoh, ketua panitia bahasa Melayu perlu turut turun padang untuk memastikan perjalanan aktiviti Minggu bahasa Melayu berjalan dengan lancar.

4.1.8 Produktif
Guru juga harus sentiasa mempunyai azam dan komitmen yang tinggi dan sentiasa bersedia untuk meningkatkan kemahiran agar menjadi lebih produktif sesuai dengan cabaran yang sentiasa memerlukan kepimpinan yang tinggi. Disamping itu juga, kemahiran-kemahiran lain juga haruslah dikuasai agar dapat menjadikannya pemimpin yang lebih berkesan dalam kerja-kerja kepimpinan yang besar skopnya.

4.2 Dimensi Kompeten Kepimpinan Guru
Dalam membincangkan mengenai kepimpinan guru, seseorang guru juga hendaklah memiliki keupayaan untuk melihat sesuatu perkara tersebut melalui sudut dan dimensi yang berbeza daripada orang lain. Terdapat empat dimensi yang berbeza bagi guru yang memiliki keupayaan melihat melalui dimensi yang lain mengikut pengelasan yang digariskan oleh Haris dan Muijs ( 2005 ).
1. Untuk meningkat prestasi sesebuah sekolah itu, seseorang guru seharusnya memiliki kebolehan untuk menterjemah prinsip-prinsip dan menggunakan penterjemahan itu untuk dipraktikkan sewaktu berada didalam bilik darjah.
Contohnya, guru yang memiliki kepimpinan yang baik boleh mengambil tindakan dengan sentiasa menjaga dan memastikan kelas yang didudukinya sentiasa berada dalam keadaan yang bersih dan teratur untuk meningkatkan keceriaan persekitaran sekolah.

2. Dalam pentadbiran sekolah, terdapat perubahan-perubahan drastik yang akan dilakukan oleh pihak pentadbir. Oleh itu guru harus mempunyai keupayaan dalam memberi penumpuan ketika turut serta dalam perubahan yang dilakukan. Sikap positif dalam diri setiap guru amat diperlukan untuk sama-sama menjayakan sebarang pembaharuan yang dilakukan oleh pihak sekolah.

3. Adalah satu kewajipan bagi sekoarang guru untuk memiliki kemahiran dalam menyampaikan maklumat kepada pelajar sama ada secara langsung mahupun sebagai orang tengah sahaja. Kepimpinan seseorang guru tersebut akan terbukti apabila mampu menyampaikan maklumat-maklumat yang penting dengan tidak mengambil kira maklumat tersebut adalah yang lama ataupun yang baru dan lebih sensitif lagi. Akan lebih terbukti lagi jika guru mampu dan sentiasa mendapatkan maklumat tambahan sama ada melalui bantuan dalam mendapatkan maklumat yang tepat dan sebagainya.

4. Dalam profesion keguruan, hubungan antara rakan sekerja amatlah penting dan harus dijaga. Dengan ini, guru mestilah berkeupayaan untuk sentiasa menjaga dan seterusnya mengekalkan hubungan yang baik sesama mereka. Ini adalah penting untuk mendapatkan kerjasama yang baik antara guru dan seterusnya berusaha bersama-sama meningkatkan prestasi sekolah agar lebih cemerlang.

4.3 Kompeten Kepimpinan Guru dan Pencapaian Matlamat Sekolah
Matlamat sesebuah sekolah untuk muncul sebagai sebuah sekolah yang cemerlang bukan hanya boleh dicapai dengan adanya pelajar cemerlang sahaja. Pencapaian matlamat sekolah ini turut dipengaruhi oleh kepimpinan yang ada pada guru-guru yang ada di sekolah melalui beberapa intipati yang penting. Tokoh seperti Hargreaves ( 1991 ), Little ( 1990 ) dan Rosenholz ( 1989 ) telah mengatakan bahawa jika wujudnya faktor kolaboratif antara guru, kepimpinan yang ada dalam diri setiap guru akan menjadi lebih berkesan. Penyataan ini turut diakui dan disokong oleh Teddlie dan Reynold ( 2000 ) dengan mengeluarkan pendapat bahawa matlamat sekolah dan kepentingan kepimpinan setiap guru harus dikongsi kerana ia adalah amat penting agar dapat meningkatkan keberkesanan untuk mencapai matlamat sekolah yang telah digariskan. Ini juga bermaksud dalam membuat sebarang keputusan yang berkaitan dengan sekolah haruslah meminta pendapat setiap guru kerana keputusan yang dibuat adalah berkait rapat dengan usaha untuk meningkatkan pencapaian sekolah. Guru-guru seperti guru panitia, guru matapelajaran dan guru kanan turut berkongsi tanggungjawab dalam menilai dan membuat keputusan untuk kepentingan dan peningkatan pencapaian sekolah.

Menurut Hackney dan Henderson ( 2005 ) peningkatan pembelajaran yang bersifat demokratik sewaktu didalam kelas seperti menggalakkan pelajar berfungsi secara kritikal dan menjadikan pelajar lebih berdikari dan bekerjasama antara satu sama lain adalah didorong oleh kepimpinan guru yang baik dan efektif sewaktu melakukan proses pembelajaran didalam kelas. Pencapaian sekolah ke tahap yang lebih tinggi lagi akan mampu dicapai jika hubungan erat sesame guru wujud di sekolah. Ini adalah kerana, dengan adanya hubungan erat sesama guru ini, peningkatan dalam penyedian proses pengajaran dan pembelajaran akan berlaku. Hubungan antara guru dan murid di sekolah juga secara tidak langsung akan membantu meningkatkan pencapaian sekolah kerana ini akan membuatkan keyakinan pelajar semakin bertambah dan tahap pencapaian akan turut meningkat ( Sebring dan Bryk ). Namun walaubagaimanapun, terdapat banyak kekangan dan halangan yang perlu dihadapi untuk melahirkan guru yang berkepimpinan ( Katzenmeyer dan Moller, 2001 ). Masalah-masalah seperti interaksi yang kurang dan sikap guru yang mengasingkan diri daripada rakan sekerja merupakan masalah yang cukup besar dan utama dalam melahirkan guru yang berkepimpinan. Ini sekaligus akan merencatkan dan menjarakkan pencapaian sekolah. Faktor lain seperti sifat degil yang tidak menerima kepimpinan orang lain sewaktu dalam perbincangan, pemerhatian dan kerja berpasukan juga adalah penyebab yang besar. Terdapat beberapa nilai kepimpinan yang menyumbang kepada peningkatan pencapaian matlamat sekolah seperti:


4.3.1 Penjana budaya sekolah

Di sekolah guru dan pelajar mempunyai peranan ataupun fungsinya sendiri iaitu sebagai sebagai sebuah komuniti sekolah. Dalam pebentukan budaya sekolah, guru menggalas beban utama dengan menjadi entiti ataupun komuditi manakala pelajar sebagai produk pendidikan yang merupakan hasil daripada pembentukan budaya yang dibentuk oleh guru. Adalah satu tanggungjawab sebagai seorang guru untuk memimpin pelajar ke arah budaya sekolah yang positif. Budaya sekolah yang positif amat diperlukan kerana budaya inilah yang menjadi intipati dan ikutan bagi semua pelajar. Dengan adanya budaya positif ini juga keyakinan dan kepercayaan pelajar terhadap guru tersebut akan meningkat dan sekaligus akan mewujudkan suasana pembelajaran dan diri pelajar yang lebih positif. Apa yang diinginkan melalui pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu membentuk warga negara yang berketrampilan dan produktif akan tercapai sejajar dengan matlamat yang disasarkan oleh sekolah.


4.3.2 Menukar kepimpinan

Untuk melahirkan guru yang berkepimpinan dalam sekolah bukan la satu tugas yang mudah. Seseorang guru itu haruslah memainkan berfungsi sebagai pakar kurikulum, pembimbing, fasilitator, mentor, pencipta kaedah baru, dan penggalak pembelajaran berkumpulan. Selain daripada peranan diatas, guru juga semestinya perlu memperkasa,merangsang dan meningkatkan kesedaran diri untuk membolehkan pencapaian sekolah dapat ditingkatkan. Selain itu, pencapaian peribadi diri juga haruslah sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa agar sentiasa menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Pendek kata kepimpinan transformasi adalah satu proses untuk mempengaruhi warga sekolah melalui usaha berterusan oleh guru-guru.

4.3.3 Kepimpinan pengajaran
Kepimpinan pengajaran ini bermaksud keupayaan seseorang guru untuk menterjemah wawasan dalam sistem pembelajaran formal sewaktu disekolah. Dalam konteks ini, kemahiran penterjemahan dalam diri guru amat diperlukan. Dengan adanya kepimpinan pengajaran ini, guru dapat menggunakan segala sumber yang ada dengan kadar yang optimum. Untuk merealisasikan kepimpinan pengajaran ini, guru harus mempunyai strategi yang sesuai seperti mebentuk rancangan pendidikan yang menarik, pemerolehan serta pengalaman pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan rancangan pendidikan dapat dilakukan dengan lebih dan terancang mengikut acuan wawasan yang telah dibina. Usaha, komitmen, kemahiran serta ketrampilan seseorang individu atau guru amat diperlukan dalam kepimpinan pengajaran agar prestasi setiap pelajar akan terus meningkat ke arah kecemerlangan melalui proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.


4.3.4 Kepimpinan membuat keputusan

Setiap keputusan yang dibuat untuk sekolah amatlah penting. Ini kerana besar implikasinya terhadap sekolah jika sesuatu keputusan yang telah dibuat mendatangkan keburukan kepada sekolah. Oleh itu guru harus bijak dalam menilai setiap aspek yang ada sebelum melakukan ataupun membuat sebarang keputusan seperti memilih keahlian pasukan, ahli jawatankuasa bertindak dan persatuan ibu bapa dan guru. Di samping itu, kemahiran interpersonal yang baik dalam diri guru juga penting kerana dengan adanya sikap ini, guru mampu menjalin hubungan ikatan silaturrahim yang erat sesama rakan sekerja.


4.3.5 Kepimpinan guru dalam mengurus bilik darjah

Untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan positif kepimpinan guru untuk mengawal dan mengurus bilik darjah adalah penting kerana kegagalan mengurus bilik darjah akan merencatkan sistem pembelajaran dengan suasana kelas yang tidak terkawal sepeti bising, kotor dan sebagainya. Kepimpinan dalam megurus bilik darjah ini juga termasuk seperti mengurus atau membentuk organisasi bilik darjah, motivasi dan disiplin. Terdapat banyak kelebihan jika pengurusan bilik darjah dapat dilaksanakan dengan baik seperti dapat menjimatkan masa dan tenaga guru dan juga pelajar itu sendiri. Di samping itu juga akan wujud lebih banyak peluang untuk guru menjalankan aktiviti-aktiviti yang lebih menarik dan berunsurkan pengajaran dan seterusnya menjadikan sistem pembelajaran yang lebih bermakna.

4.3.6 Kepimpinan guru dan pengupayaan dalam bilik darjah
Sewaktu berada dalam bilik darjah, kuasa autonomi guru adalah diperlukan untuk mengawal dan mengawal keadaan kelas. Kuasa autonomi dimaksudkan adalah merangkumi aspek penyelesaian masalah, membuat keputusan dan mengambil tindakan untuk kebaikan dan pencapaian murid. Pendek kata, pengupayaan sewaktu berada dalam bilik darjah adalah penggunaan kuasa yang telah diberikan kepada setiap guru bagi menjalankan tugas yang diarahkan dan dipertanggungjawabkan disamping mengawal pelajar.


4.3.7 Pembentukan kumpulan kerja dalam bilik darjah
Di sekolah, kerja secara berkumpulan adalah amat penting untuk membina kerjasama, sikap bersatupadu dan komitmen yang tinggi diantara guru dan pelajar. Kerjasama yang utuh akan mampu merealisasikan matlamat dan visi yang telah digariskan oleh sekolah. Selain itu. Pembentukan kerja secara berkumpulan juga dapat memperkembangkan dan lebih mendalami matlamat sekolah, mencari penyelasaian yang lebih efektif, kreatif, motivasi dan seterusnya dapat mempertajamkan kemahiran yang sedia ada dalam kalangan guru dan pelajar.


4.3.8 Memperkasa kecerdasan emosi pelajar

Sejajar dengan matlamat yang telah disasarkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu dengan menjadikan aspek kecerdasan emosi sebagai landasan untuk melahirkan dan membentuk insan yang seimbang daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Telah banyak tindakan yang dilakukan untuk memperkasa kecerdasan emosi pelajar agar setaraf dengan kecerdasan intelek termasuklah mengaplikasikan aspek kecerdasan emosi ini dalam aspek kurikulum sekolah. Keseimbangan kecerdasan emosi dan intelek ini adalah amat penting dan haruslah seimbang dalam diri pelajar untuk mencapai kecemerlangan kerana kecerdasan intelek sahaja tidak mampu mempersiapkan pelajar untuk menghadapi situasi kehidupan yang sebenar.

4.3.9 Mengamalkan komunikasi yang efektif
Aspek komunikasi dalam pembelajaran adalah penting untuk mewujudkan situasi kelas yang efektif. Komunikasi yang baik juga dapat menggelakkan pelajar belajar dalam situasi yang kaku dan bisu. Dalam komunikasi sewaktu didalam kelas boleh berlaku secara sehala, dua hala dan pelbagai hala yang melibatkan penyampai mesej ( orang yang bertutur ataupun menulis ) dan menerima mesej ( pendengar dan pembaca ). Komunikasi yang baik akan mendatangkan pelbagai kebaikan dan begitu juga sebaliknya. Kegagalan komunikasi ini akan menimbulkan konflik kerana berlaku perselisihan ataupun pencanggahan antara dua pihak. Oleh itu, guru harus mengetahui dan mengamalkan ciri-ciri komunikasi sewaktu dalam bilik darjah untuk mencapai kecemerlangan murid dan seterusnya merealisasikan visi dan matlamat sekolah.

5.0 KEPIMPINAN GURU DAN BUDAYA SEKOLAH

Guru merupakan pemimpin yang berperanan sebagai ejen perubahan. Perubahan yang dimaksudkan adalah melibatkan perubahan ke atas sekolah dan bilik darjah. Guru juga adalah individu yang menggariskan hala tuju dan membentuk para pelajar ke arah merealisasikan hala tuju itu dengan nilai-nilai kepimpinan yang positif.

5.1 Peranan Guru :
1. Pengajar
2. Pembimbing
3. Fasilitator
4. Inventor
5. Pengurus
6. Penghubung

5.1.1 Pengajar
Berusaha untuk memahamkan pelajar berkaitan konsep dengan mudah, sistematik, seronok dan bermakna. Peranan sebagai pengajar juga merupakan satu agen untuk mempertingkatkan prestasi pelajaran pelajar. Di samping itu, ia turut sama berperanan sebagai individu yang menjadi jambatan rujukan pengetahuan dan maklumat para pelajar.

5.1.2 Pembimbing
Membimbing pelajar ke arah bersikap rasional, realistik dan kondusif bagi menghadapi dan menyelesaikan masalah ekoran cabaran hidup.

5.1.3 Fasilitator
Pemudah cara dan mentor dalam membantu perjalanan harian dalam dan luar kelas. Guru juga berperanan sebagai mentor ataupun tempat rujukan pelajar semasa memerlukan pandangan dan tunjuk ajar.

5.1.4 Inventor
Memperkenalkan inovasi daripada aspek inovasi teknik dan sebagai agen yang membawa perubahan kepada suasana dan persekitaran pembelajaran pelajar. Hal ini sejajar dengan keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memfokuskan kepada pembinaan pelajar ke arah insan yang seimbang, kreatif dan kritis.


5.1.5 Pengurus
Mampu mengurus dengan cekap, sempurna dan otomatis dalam memupuk disiplin kendiri pelajar. Apabila disiplin pelajar cemerlang, maka akademik pelajar turut cemerlang. Selain itu, guru berperanan sebagai pengurus bilik darjah yang sistematik dan teratur bagi memastikan segala urusan yang berkaitan dengan pembelajaran yang kondusif dapat disediakan oleh guru.

5.1.6 Penghubung
Menghubungkan pelajar dengan pelajar serta guru dan pelajar ke konsep universal. Dalam erti kata lain, guru berperanan sebagai pencetus komunikasi (communication moderator) antara pelajar dan guru.

5.2 Aspek ikutan
Aspek ikutan yang dapat dijadikan panduan oleh guru bagi menjana budaya supaya sekolah lebih berkesan: Jon Saphier & Matthew King (1985).

1. Kesamaan dan kerjasama
2. Mencuba idea baru dan inovatif
3. Harapan yang tinggi
4. Kepercayaan dan keyakinan
5. Sokongan
6. Mendapatkan pengetahuan
7. Penghargaan
8. Penyayang dan humor
9. Melibatkan penyelesaian masalah
10. Tradisi



5.2.1 Kesamaan dan Kerjasama
Guru tidak mempunyai sifat prejudis dan diskriminasi pada pelajar. Semua pelajar perlu diberi perhatian dan tumpuan yang sama tanpa mengira status atau kedudukan keluarga pelajar ataupun juga aras pengetahuan dan kecerdikan pelajar.
Budaya seperti ini menjadi nilai positif dan normal yang sihat supaya para pelajar berasa mereka adalah sama. Dengan hal demikian, budaya kesamaan ini menghasilkan suasana kerjasama dan pelajar akan menjadi lebih akrab sesama mereka.


5.2.2 Mencuba Idea Baru dan Inovatif

Guru perlu mempunyai keyakinan dan budaya tinggi daripada aspek kreativiti dan inovasi dalam proses mengajar. Hal ini menjadikan pelajar tertarik kepada pengetahuan dan pembelajaran seterusnya akan membentuk budaya mencintai ilmu dan daya saing dalam kalangan pelajar. Situasi ini secara tidak langsung menjana pelajar ke arah kecemerlangan yang nyata dan positif.


5.2.3 Harapan yang Tinggi

Guru perlu meletakkan ekspektasi dan harapan yang tinggi kepada pelajar daripada segi pencapaian. Harapan ini direalisasikan guru dengan melakukan peranan sebagai pembimbing, penasihat, pengajar, fasilitator dan sebagainya dengan ikhlas. Justeru, apabila pelajar dapat menembusi proses pembelajaran yang kondusif, maka secara tidak langsung situasi ini menyediakan diri mereka dalam aspek pencapaian yang baik.

5.2.4 Kepercayaan dan Keyakinan
Guru perlu mempamerkan sifat kepercayaan dan keyakinan yang tinggi apabila memainkan peranan terutamanya di hadapan pelajar.
Ciri ini memberikan keyakinan pelajar kepada guru dan seterusnya dapat menyemai sifat-sifat yang sama dalam diri mereka.

5.2.5 Sokongan
Guru perlu mempamerkan sokongan yang positif kepada pelajar apabila diperlukan. Guru juga berperanan dalam menjadi pemangkin pelajar bagi meningkatkan motivasi diri dalam mengharungi cabaran sebagai pelajar.
Sokongan guru menjadikan pelajar lebih kompeten (berketerampilan) dan seterusnya bertindak sebagai rakan belajar yang baik kepada pelajar lain dan meningkatkan proses pembelajaran kalaboratif dan kerjasama.

5.2.6 Mendapatkan Pengetahuan
Guru perlu berusaha mendapatkan pengetahuan yang baru dan terkini serta menarik dalam proses pengajaran. Hal ini menjadikan pelajar lebih yakin kepada kemampuan guru sebagai pemudah cara. Kesungguhan guru mendapatkan pengetahuan menjadikan pelajar didedahkan kepada ilmu yang lebih baik dan terkini. Secara tidak langsung keadaan ini membantu pelajar ke arah lebih informatif dan menjana kecemerlangan diri.

5.2.7 Penghargaan
Guru perlu selalu mengamalkan sifat menghargai di atas kemampuan dan kejayaan pelajar. Keadaan ini akan membentuk keyakinan diri pelajar ke arah yang lebih positif. Sifat ini juga mampu menjurus kepada pembentukan budaya penyayang dan prihatin.

5.2.8 Penyayang dan Humor
Guru perlu bersifat penyayang dan mempunyai sifat humor yang baik. Hal ini menjadikan pelajar mesra dan gembira. Seterusnya, situasi ini menjana pembentukan sekolah yang bahagia dan seronok serta membentuk budaya yang periang dan mesra.

5.2.9 Melibatkan Pelajar dalam Penyelesaian Masalah
Guru perlu melibatkan pelajar dalam menyelesaikan masalah dalam kelas atau yang berkaitan dengan pelajar. Hal ini membentuk budaya sharing responsibility dalam kalangan pelajar serta bersifat bertanggungjawab dalam menjamin kesejahteraan sekolah. Proses bersama ini membentuk pelajar sebagai duta dalam menyebarkan budaya yang positif bagi menangani masalah dalam kalangan pelajar menerusi pelajar sendiri.

5.2.10 Tradisi
Guru perlu menghidupkan perayaan dan perkara-perkara tradisi atau menjadikan aspek-aspek budaya positif sebagai tradisi. Contohnya seperti mengucapkan selamat hari jadi kepada pelajar. Hal ini seterusnya mewujudkan rasa penghargaan dan kasih sayang kepada guru itu dan seterusnya menjadi satu budaya dalam kalangan pelajar.


5.3 Kepemimpinan Dalam Pengajaran Guru

Kepemimpinan dalam pengajaran merujuk kepada kebolehan guru memberi tumpuan kepimpinan, galakan dan sokongan dengan tujuan mengatasi masalah, memperbaiki dan mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Kepemimpinan pengajaran juga dikatakan berperanan mereka bentuk dan menterjemahkan wawasan ke dalam kurikulum formal. Ia dilakukan dengan cara mengoptimumkan segala sumber yang ada melalui strategi rancangan pendidikan, pemerolehan serta pengalaman pengajaran-pengajaran bagi memastikan rancangan pendidikan dilaksanakan dengan berkesan berdasarkan wawasan yang dibawa. Justeru dapat difahami kepimpinan pengajaran adalah proses yang melibatkan individu yang berperanan mencurahkan segala usaha, komitmen, kemahiran serta keterampilan bagi meningkatkan prestasi dan memperbaiki kelemahan para pelajar ke arah kecemerlangan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.



5.4 Keterampilan Kepimpinan Pengajaran

Keterampilan bermaksud kecekapan dan kemampuan yang tinggi dalam melaksanakan tugasan ataupun menyelesaikan masalah (Kamus Dewan). Keterampilan kepimpinan pengajaran pula adalah segala usaha, tindakan dan amalan yang berupa komitmen yang dilakukan guru bagi menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat empat keterampilan yang perlu dimiliki oleh kepemimpinan pengajaran guru, iaitu:
1. Keterampilan teknikal
2. Keterampilan kemanusiaan
3. Keterampilan bekerja di dalam sistem organisasi
4. Keterampilan kejurubinaan

5.4.1 Keterampilan Teknikal
* Kemahiran dan pengetahuan dalam perkembangan kurikulum
* Kemahiran dalam disiplin ilmu
* Pengetahuan bidang genetik dan spesifik
* Pengetahuan dalam asas-asas kurikulum (falsafah, sosiologi, Psikologi dan Sejarah)
* Pengetahuan Dalam Kaedah Kajian


5.4.2 Keterampilan Kemanusiaan

* Memahami proses dinamika kumpulan
* Cekap mengendalikan keperluan individu pasukan dan komuniti
* Menyedari keperluan pelajar, guru dan komuniti
* Menyedari teori humanistik dan keperluan


5.4.3 Keterampilan Bekerja Di Dalam Sistem Organisasi

* Mengetahui bagaimana sistem organisasi beroperasi
* Menghayati fungsi organisasi
* Mengetahui cara menyesuaikan diri dalam organisasi
* Mempunyai visi bagaimana prestasi organisasi boleh dioptimumkan


5.4.4 Keterampilan Kejurubinaan

* Membina satu kerangka peranan dan bubungan dengan manusia di dalam organisasi untuk menggerakkan sesuatu tugas

5.5 Sumber-sumber Pengaruh Pemimpin
1. Kuasa sah
2. Kuasa ganjaran
3. Kuasa paksaan
4. Kuasa pakar
5. Kuasa rujukan


5.5.1 Kuasa Sah

Kuasa ini merujuk kepada pengikut menetapkan bahawa pemimpin mempunyai hak yang sah untuk mempengaruhinya dan dia sendiri mempunyai obligasi untuk menerima pengaruh itu atas sebab-sebab status atau jawatanya yang dilantik secara sah oleh pihak berkuasa yang lebih tinggi.


5.5.2 Kuasa Ganjaran

Kuasa ini berakar kepada keupayaan seseorang pemimpin memberi ganjaran kepada pengikutnya. Pengikut akan patuh kepada pemimpin sekiranya pengikut mengamati bahawa pemimpin berupaya memberi ganjaran. Misalnya guru memberihadiah kepada pelajar yang cemerlang (mendapat tempat pertama, kedua, dan ketiga di dalam kelas), Guru ini akan diamati sebagai mempunyai lebih kuasa ganjarannya.

5.5.3 Kuasa Paksaan
Kuasa ini membabitkan kebolehan seseorang pemimpin mengenakan paksaan. Kuasa ini datang dari jangkaan pengikut bahawa dia akan dihukum oleh pemimpin jika dia gagal untuk akur kepada pemimpin hingga menyebabkan orang bawahan cuba mengelakkan dirinya daripada dikenakan tindakan yang berupa hukuman. Misalnya, pelajar yang melihat hukuman yang bakal diterima kerana tidak membuat kerja sekolah sebagai sesuatu yang menyeksakan akan akur kepada permintaan guru.

5.5.4 Kuasa Pakar
Kuasa ini berasaskan kepada kebolehan atau kepakaran seseorang dalam sesuatu bidang tertentu hingga menyebabkan orang bawahannya patuh kerana percaya bahawa pemimpin mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kemahiran konseptual, perhubungan manusia dan teknikal. Kuasa ini berkesan jika pengikut memerlukan kepakarannya. Contohnya, guru pakar dalam bidang sejarah akan diberi perhatian oleh para pelajar untuk mendapatkan ilmu sejarah.



5.5.5 Kuasa Rujukan

Kuasa ini diasaskan kepada perasaan kesatuan di antara yang memiliki kuasa dengan yang mengikutinya. kalau seseorang itu tertarik, kagum dan hormat kerana pemimpin berkenaan adalah model kepadanya, dia akan mempunyai keinginan untuk dikaitkan dengan pemimpin itu, dan akan melakukan sesuatu bukan kerana apa-apa tetapi kerana hormat, tertarik dan kagum, juga supaya dia diterima oleh pemimpin berkanaan.

5.6 Taktik Pemimpin (guru) Mempengaruhi Orang Bawahan (pelajar)
1. Taktik Pujukan Rasional
2. Taktik Daya Tarikan Yang Memberikan Inspirasi
3. Taktik Perundingan
4. Taktik Berbuat Baik (Ingratiation Tacties)
5. Taktik Daya Tarikan Peribadi
6. Taktik Pertukaran
7. Taktik Gabungan
8. Taktik Sah
9. Taktik Tekanan

5.6.1 Taktik Pujukan Rasional
Pemimpin menggunakan hujah-hujah yang logik dan bukti-bukti nyata untuk memujuk orang bawahan supaya matlamat yang ditetapkannya tercapai. Untuk menggunakan teknik ini, pemimpin haruslah mempunyai sifat yang amanah dan boleh dipercayai serta mempunyai kemahiran berucap.

5.6.2 Taktik Daya Tarikan Yang Memberikan Inspirasi
Pemimpin mempengaruhi orang bawahan dengan membangkitkan semangat dan emosi orang bawahan hingga mereka berasa mereka adalah penting dan berupaya menyumbangkan sesuatu kepada organisasi. Untuk menggunakan taktik ini, pemimpin hendaklah mempunyai kemahiran berkomunikasi dan menggunakan metafora, simbol dan daya imaginasi yang tinggi serta mempunyai suara yang menarik dengan gerak-geri yang menawan.

5.6.3 Taktik Perundingan
Taktik ini digunakan dengan mengajak orang bawahan memberi pendapat, kaedah dan cara-cara melaksanakan sesuatu untuk mencapai objektif yang ditetapkan oleh pemimpin.

5.6.4 Taktik Berbuat Baik (Ingratiation Tacties)
Taktik ini ialah tingkah laku yang membuatkan seseorang berasa dia dihargai, misalnya memberitahu orang ketiga bahawa seseorang itu adalah yang layak melaksanakan tugas. Taktik ini kadang-kadang menjadi satu cara untuk memanipulasi seseorang, Tetapi apabila seseorang itu sudah percaya tentang kejujuran pemimpinannya, taktik ini akan menjadi berkesan.

5.6 5 Taktik Daya Tarikan Peribadi
Taktik ini merujuk kepada pemimpin meminta orang bawahan melaksanakan sesuatu kerana atas sifat setiakawan atau ketaatan orang bawahan terhadap pemimpin mereka. Misalnya, guru meminta pelajar menyiapkan kerja sekolah di rumah. Melalui taktik ini, pelajar akan menyiapkan kerja sekolah itu kerana taat.

5.6.6 Taktik Pertukaran
Taktik ini merujuk kepada pemimpin membuat tawaran sesuatu ganjaran sama ada secara explisit atau implisit kepada seseorang yang membuat tugasan yang diminta olehnya. Taktik ini akan menjadi berkesan jika orang bawahan mengamati bahawa pemimpin mempunyai kuasa memberi ganjaran kepada orang bawahannya dan juga jika orang bawahan memerlukan ganjaran itu.


5.6.7 Taktik Gabungan

Taktik ini adalah mendapatkan orang lain untuk mempengaruhi orang bawahan kita. orang lain ini mungkin terdiri daripada rakan sejawatan, orang bawahan, orang atasan atau mungkin orang di luar organisasi. Contohnya, guru kelas mendapatkan pertolongan guru kaunseling untuk memberi nasihat kepada pelajar.

5.6.8 Taktik Sah
Taktik ini merujuk kepada pemimpin menggunakan aktiviti, polisi, peraturan, program dan tradisi yang mana semua orang perlu mematuhinya. Mungkin juga apa yang hendak dilaksanakan ini diperlukan atau direstui pihak atasan.


5.6.9 Taktik Tekanan

Taktik ini merujuk kepada penggunaan ancaman dan ugutan, amaran, dan tingkahlaku seruan seperti membuat permintaan dan semakan yang kerap. Kadang-kadang jika permintaan tidak dipenuhi, orang bawahan akan dimarahinya. kaedah ini digunakan sebagai satu tindakan terakhir setelah cara-cara lain gagal.

6.0 IMPLIKASI KEPIMPINAN GURU

Kepimpinan guru merupakan suatu nilai positif yang mampu mencambahkan implikasi harmoni dalam lingkungan komuniti yang besar. Guru adalah individu teladan yang mampu memberi pengaruh besar terhadap persekitarannya dan kepimpinan guru yang diimplimentasikan secara berkesan akan membina pengaruh positif kepada pelajar, bilik darjah, guru, sekolah dan masyarakat. Kepimpinan guru menyediakan peluang kolaboratif dan pembelajaran profesional yang mempengaruhi perubahan dalam bilik darjah dan sekolah (Abdullah Sani, Abdul Rashid dan Abd. Ghani, 2007). Guru yang mempunyai karisma kepimpinan merupakan aset berharga kepada sekolah kerana tuntutan kontemporari memerlukan kalangan guru yang memiliki keupayaan untuk mengubah dan membina hala tuju sekolah daripada tahap yang sedia ada kepada satu standard yang lebih tinggi.

Di samping itu, kepemimpinan guru akan menjadi lebih mantap dan terserlah apabila para guru terbabit secara langsung dalam proses membuat keputusan secara professional di sekolah. Kepimpinan guru bukan sahaja mampu memberikan implikasi terhadap pembangunan fizikal komuniti sekolah dan persekitarannya tetapi juga mampu memberi implikasi terhadap pembangunan psikologi dan sahsiah individu yang berhubung secara langsung dengan guru terutamanya pelajar dan ibu bapa. Guru dan kepimpinan boleh diibaratkan seperti aur dengan tebing kerana tugas guru yang sudah melangkaui batasan bilik darjah menuntut kemampuan dan kewibawaan seseorang guru itu untuk menggalas tanggungjawab organisasi yang sedia ada di sekolah di samping menjalankan tanggungjawab sebagai arkitek dan jurutera yang berupaya untuk melahirkan insan berjiwa besar dan bermaruah.

Guru yang duduk di sekolah tanpa keupayaan untuk menggerakkan atau berkerjasama dalam membangunkan organisasi sekolah bagaikan sang Singa yang hidup di belantara tebal tanpa taring dan kuku. Mengajar dengan berpandukan buku teks dan skrip semasa sesi pengajaran dan pembelajaran sahaja tidak cukup untuk mencapai standard sebuah sekolah klauster yang berwibawa dan berintegriti tetapi kewibawaan dalam kepimpinan seseoang guru di dalam dan luar bilik darjahlah yang akan memanaskan termometer yang seterusnya menggerakkan raksa kecemerlangan sesebuah sekolah itu ke tingkat tertinggi sepertimana yang diharapkan.


6.1 Implikasi terhadap guru sesama guru

Kecemerlangan sesebuah sekolah bergantung kepada pendekatan dan kesungguhan guru-guru di sekolah tersebut untuk berkerjasama dalam mendukung hasrat misi dan visi sekolah. Kerjasama dalam kalangan guru bukan sahaja menyerlahkan profesionalisme keguruan malah turut menjulang kepimpinan guru. Seorang guru yang berkarisma dalam memimpin sesuatu organisasi juga berupaya untuk memupuk nilai kepimpinan dalam diri rakan sejawatnya dan seterusnya mewujudkan suasana yang fleksibel untuk sebarang bentuk kerjasama antara mereka. Sekolah yang berjaya dan berkesan biasanya dibantu oleh penglibatan aktif guru-guru dalam tugas berkumpulan dan lazimnya wujud kerjasama harmoni dalam kalangan komuniti yang berkesan seumpama ini.
Interaksi, sokongan dan maklum balas sesama guru menjadi medium terbaik kepada proses refleksi dalam memantapkan lagi mutu pengajaran dan memperkasakan nilai kepimpinan guru (Abdullah Sani, Abdul Rashid dan Abd. Ghani, 2007). Hubungan dua hala dalam linkungan yang harmoni sesama guru akan mewujudkan kesedaran positif dalam kalangan mereka terutamanya dalam membina kerangka pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk diimplimentasikan di dalam bilik darjah mereka. Hakikat ini disokong oleh Yukl, 1989 (dalam Noraini Abdullah, 2010) yang melihat kepimpinan sebagai satu proses seseorang individu mempengaruhi ahli-ahli kumpulan yang lain bagi mencapai matlamat tertentu.
Guru yang berpengalaman dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi boleh membantu guru baru untuk mencapai kualiti terbaik dalam corak pengajarannya iaitu melalui interaksi dua hala yang mantap serta melalui semangat kerja berpasukan yang tinggi. Begitu juga halnya dengan sebuah komuniti guru yang mempunyai kefahaman terhadap tugas dan bertanggungjawab dalam kepimpinannya berupaya untuk saling bertukar-tukar idea dan saling memperbaiki melalui pengaruh bersama yang akhirnya mampu mengubah dan memperbaiki standard pengajaran yang sedia ada kepada suatu corak pengajaran yang lebih berkesan hasil daripada interaksi dan pembelajaran bersama ini.

Implikasi kepemimpinan guru ke atas guru membuka peluang kepada mereka meneroka aktiviti-aktiviti serta peluang pembangunan profesion dan menyerlahkan lagi keberkesanan kendiri serta keyakinan diri. Guru yang berkeyakinan dan berkesan bukan sahaja memberi kelebihan kepada diri mereka dalam mendepani hidup sebagai guru dan pemimpin tetapi turut memberi kelebihan terhadap kekuatan organisasi sesebuah sekolah. Pengetua atau guru besar merupakan individu perdana dalam mana-mana organisasi sekolah dan kepimpinan mereka yang berkesan akan membawa implikasi yang positif terhadap usaha mengukuhkan institusi pendidikan primer mahupun sekuder di negara ini. Pengetua yang mempunyai hubungan yang akrab dan mesra dengan guru-guru yang ada di bawahnya lazimnya berupaya untuk memangkin keupayaan sebenar guru-guru di bawahnya untuk menghasilkan satu kualiti kerja yang mantap tanpa sebarang persepsi negatif terhadap tugas yang diamanahkan. Pengetua yang bijak dan berkarisma lazimnya berupaya menjulang prestasi sekolah dengan memanfaatkan sepenuhnya kebolehan guru-guru yang duduk sebumbung dengannya dalam organisasi sekolahnya. Hal ini diulas oleh oleh Abdullah Sani dan rakan-rakan (2007) dengan menyatakan bahawa kepimpinan guru adalah berlandaskan prinsip semua guru mempunyai kemahiran, kebolehan dan bakat yang perlu diasah dan dipercayai.


6.2 Implikasi terhadap pelajar dan bilik darjah

Pelajar sebagai pembelajar menerima implikasi yang positif daripada nilai kepimpinan guru dalam bilik darjah terutamanya dalam proses pembinaan semangat dan penumpuan mereka dalam ruang lingkup berkenaan. Sebagai contoh, satu kajian yang dijalankan oleh Glover dan Gary,1976 (dalam Mohd. Daud Hamzah, 1990) terhadap kanak-kanak gred 4 dan 5 (konteks luar Malaysia) mendapati sikap guru yang positif terhadap pelajarnya dalam memberikan pengukuhan mampu meningkatkan kreativiti seseoang pelajar itu. Sikap yang positif ini menjadi satu kayu ukur terhadap sejauhmana seseorang guru itu mampu mengimplimentasikan daya kepimpinannya dalam lingkungan bilik darjah yang terdiri daripada murid dan pelajar yang pelbagai karenah. Di samping itu, kepimpinan guru juga mampu membawa implikasi yang positif terhadap moral dan akhlak pelajar di luar lingkungan bilik darjah mahupun sekolah kerana kepimpinan guru adalah picagari terbaik untuk menyuntik vitamin motivasi dalam diri pelajar. Motivasi seumpama ini bukan sahaja mampu mewujudkan interaksi positif antara guru dengan pelajar tetapi juga menjadi platform kepada pemurnian jati diri pelajar sebagai manusia yang bermaruah dan berkeyakinan dalam mendepani cabaran hidup masa kini.
Persembahan pelajar dalam kurikulum lazimnya menjadi kayu pengukur kepada kewibawaan seseorang guru. Kepimpinan guru menjadi faktor yang menyumbang kepada peningkatan persembahan dan kebolehan pelajar dalam pembelajaran dan sahsiah. Keprihatianan guru adalah kunci kepada kekuatan daya kepimpinan seseorang guru. Guru yang mendukung sifat kepemimpinan yang berkesan mampu menjaga kebajikan pelajar-pelajarnya. Kebajikan pelajar bukan semata-mata ditakrifkan sebagai keperluan lahiriah sahaja tetapi turut merangkumi penjagaan kebajikan dalam konteks yang lebih abstrak iaitu menjaga kebajikan pelajar dari segi rohani dan emosi.
Guru yang bijak mampu mengimplimentasikan kewibawaan kepemimpinannya tanpa menjejaskan keutuhan rohani dan emosi pelajarnya malah memberi peneguhan yang mampu mencorak wawasan dan idealisme mereka sepertimana hasil kajian Glover & Gary (1976) yang dibincangkan di atas. Di samping itu, guru juga perlu memenuhi kebajikan pelajarnya di dalam bilik darjah dengan melaksanakan sesi pembelajaran dan pengajaran secara seimbang yakni mampu diterima oleh semua lapisan murid yang berbeza kredibiliti mental. Hal ini boleh dikaitkan dengan teori otak Triune yang yang dikemukakan oleh Paul Mclean yang menyatakan bahawa setiap individu mempunyai cara yang tersendiri untuk membina pemahaman dan setiap otak adalah unik yang membezakannya daripada individu lain (Suppiah Nachiappan dan rakan-rakan, 2009).
Guru yang mengamalkan kepemimpinan yang baik akan lebih terbuka dengan persekitarannya dan mereka juga akan lebih mudah untuk berkerjasama dengan pelajar. Di samping itu, guru yang memiliki karisma lazimnya akan meletakkan kepercayaan yang positif terhadap pelajarnya. Hal ini boleh diperhatikan menerusi penyerahan tugas kepada mereka atas kepercayaan yang jitu. Sebagai contoh, guru memberi kebebasan kepada pelajar untuk menghiasi, menjaga, dan menghidupkan bilik darjah mereka sendiri. Penurunan kuasa guru kepada pelajar seumpama ini mampu memberi impak positif terhadap jiwa dan minda pelajar yang melihat bahawa keputusan mereka dalam sesuatu perkara turut dipentingkan dan dititikberatkan demi keselesaan mereka sendiri. Keyakinan yang positif seseorang guru terhadap pelajarnya merupakan suatu proses refleksi positif yang terhasil daripada daya kepimpinan guru tersebut (Abdullah Sani, Abdul Rashid dan Abd. Ghani, 2007)).

Guru sebagai pemimpin akan lebih positif dalam membimbing pelajar, terbuka untuk berbincang dengan pelajar dan bertoleransi untuk mengambil kira pendapat serta keputusan pelajar bagi melicinkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran. Seorang guru yang mempunyai daya kepimpinan yang berkesan mempunyai keupayaan untuk mempersembahkan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan lebih bermakna, ceria dan berkesan. Guru yang terlalu pasif dan terlalu terikat dengan gaya pengajaran tertentu akan membuatkan suasana bilik darjah menjadi bosan dan suram yang seterusnya mengganggu penumpuan pelajar terhadap sesi pembelajaran. Guru yang baik dan digemari pelajar lazimnya merupakan guru yang bervariasi dalam persembahan gaya pengajarannya serta peka terhadap keadaan pelajar yang berada di hadapannya. Guru yang baik adalah pemimpin yang berkesan. Hal ini jelas kerana pelajar perlu dipengaruhi untuk membentuk kredibiliti mereka dan hanya guru yang baik sahaja yang mampu melakukan perkara tersebut sepertimana pemimpin yang berkarisma membina wawasan rakyatnya untuk mencapai tahap kemajuan yang tertinggi.

6.3 Implikasi kepada sekolah
Kepemimpinan guru besar atau pengetua dan para guru yang bersatu padu dalam menjana pembangunan dan keberkesanan sekolah menjadi tunggak penting yang menentukan kecemerlangan sekolah seperti yang dinyatakan oleh Andrew & Marefield, 1991 (dalam Yahya Din, 2005) iaitu sekolah yang berkesan dipimpin oleh pengetua yang berwibawa. Pengetua menjadi perancang dan penggerak utama dalam memartabatkan visi dan misi sekolah. Kepemimpinan pengetua yang merangkumi perkongsian matlamat, pendapat, bebanan kerja, perhubungan baik dan erat sesama warga sekolah serta masyarakat luar merupakan antara bahagian-bahagian penting dalam budaya kepimpinan guru besar atau pengetua sekolah yang membawa natijah positif untuk pembangunan dan pembinaan ahli sekolah dan suasana sekolah yang dinamik dan kondusif. Sekolah yang kondusif mempunyai potensi untuk melahirkan modal insan yang berwibawa serta mampu untuk menggerakkan keupayaan diri walaupun telah berada di luar lingkungan sekolah.

Prasarana sekolah juga menjadi lebih efisyen dan terkini dengan adanya guru yang berkepimpinan. Sikap lepas tangan yang lazim digembar-gemburkan dalam media massa yang dikaikan dengan guru tidak mungkin akan timbul dengan adanya nilai kepimpinan dalam diri seseorang guru. Prasarana yang baik akan menzahirkan suasana yang kondusif serta harmoni untuk sesi pembelajaran.
Kepimpinan guru di sekolah akan menjadikan sekolah lebih berkesan dari segi fungsi dan prestasinya. Sekolah yang berkesan mengikut Mortimore, 1995 (dalam Ahmad Zabidi, 2006) memiliki 11 ciri penting yang dimulai dengan kepimpinan yang professional; perkongsian visi dan matlamat; kewujudan budaya pembelajaran; penumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran; pengajaran yang bermatlamat; pengharapan yang tinggi; pengukuhan yang positif; pemantauan terhadap perkembangan; hak dan tanggungjawab murid; permuafakatan antara rumah dan sekolah; dan organisasi yang dinamik. Berdasarkan cirri-ciri sekolah berkesan yang dikemukakan oleh Martimore, dapat diperhatikan bahawa kepimpinan menjadi aspek perdana dalam menjana kekuatan sesebuah sekolah.
Di samping itu, kebolehan mengatur strategi, mengubah keadaan, membangunkan kemahiran dan pengetahuan guru meningkatkan lagi keupayaan organisasi seperti sekolah melonjak maju dan mencapai kecemerlangan secara menyeluruh. Seseorang pengetua yang berpandangan jauh melihat kepimpinan sebagai keperluan penting yang perlu dipikul bersama oleh semua pihak yang berada dalam lingkungan komuniti sekolah dan umum. Melalui hasrat ini maka semua guru-guru, kakitangan sekolah ibu bapa dan masyarakat lain diberi peluang untuk terlibat dalam kepimpinan pengetua atau guru besar. Hasrat besar seumpama ini memerlukan komitmen, bakat serta tenaga daripada semua pihak bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya. Karismatik guru juga menjadi prasyarat penting kepada pembangunan sekolah.

6.4 Implikasi kepada masyarakat
Walaupun fokus utama laporan ini adalah mengenai kepimpinan guru yang memfokuskan lingkungan sekolah, namun implikasi daripada kepimpinan guru ini tidak hanya statik kepada ruang lingkup sekolah dan komunitinya sahaja malah lebih luas dengan melibatkan msyarakat umum. Guru yang mengamalkan kepimpinan yang berkesan dapat menarik kepercayaan masyarakat untuk berkerjasama dengan pihak sekolah. Ahli masyarakat yang dimaksudkan di sini adalah golongan ibu bapa yang menjadi tulang belakang kepada kehidupan sosial pelajar. Ibu bapa turut menerima impak yang positif daripada karisma kepimpinan guru di sekolah. Guru yang berwibawa memiliki keupayaan untuk melibatkan ibu bapa dalam proses memberikan pendidikan formal kepada anak-anak mereka. Hubungan ibu bapa dan guru yang tidak hanya terbatas di atas meja mensyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru akan membuka ruang kolaborasi yang lebih dinamik dalam perihal yang lebih besar wawasannya serta mengikis kebimbangan ibu bapa terhadap kredibiliti guru dalam aspek pembentukan disiplin dan jati diri anak mereka.

Kepimpinan Guru yang berkesan dan dinamik membuka peluang kerjasama dengan ahli masyarakat yang lain untuk membina dan membangunkan kredibiliti sekolah terutamanya dalam perkara yang melibatkan penyelesaian masalah disiplin pelajar dan pemantapan prestasi akademik pelajar. Pihak berkuasa, kakitangan sekolah, pegawai pendidikan dan masyarakat umum juga menerima implikasi daripada kepimpinan guru dan mereka ini turut dilibatkan oleh guru sebagai komuniti bukan guru yang diperlukan untuk sama-sama membina dan mencorakkan lahiriah dan rohaniah modal insan negara yang bukan sahaja mampu memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tetapi turut menjiwai Rukun Negara dengan kefahaman yang jitu dan mantap sebagai warganegara yang bertanggungjawab. Prinsip kerjasama dalam kepemimpinan adalah suatu prinsip yang perlu diperkembangkan dengan lebih meluas antara guru dan masyarakat kerana kedua-dua pihak memerlukan suatu medium penyatuan hubungan dalam bentuk yang lebih praktikal. Prinsip kerjasama kepemimpinan adalah jawapan kepada penyatuan hubungan antara ibu bapa dan guru (Abdullah Sani, Abdul Rashid dan Abd. Ghani, 2007). Apabila wujud hubungan akrab dalam aspek ini antara ibu bapa dan guru maka sebarang permasalahan yang timbul akan lebih mudah untuk dirungkaikan dan diselesaikan.

Kepemimpinan guru yang berkesan juga mengurangkan beban individu kerana kerjasama kumpulan lebih dititikberatkan. Perbincangan dan keputusan bersama menjadi intipati dalam melaksanakan tugas. Sebagai contoh, pengagihan tugas dalam mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) antara ibu bapa dan guru akan mengurangkan bebanan tugas sesama ahli persatuan dan seterusnya melicinkan perjalanan perjalanan mesyuarat berkenaan. Di samping itu, kerjasama pihak berkuasa dan masyarakat umum dalam melaporkan salah laku pelajar di luar kawasan sekolah kepada pihak sekolah adalah satu lagi bentuk kerjasama yang boleh dibentuk dan dipupuk menerusi kepimpinan guru yang mempunyai keupayaan berkomunikasi dengan masyarakat yang ada di luar lingkungan sekolah.

Oleh itu, nilai kepemimpinan guru semememangnya turut memberi implikasi positif terhadap masyarakat terutamanya ibu bapa kerana ianya mampu memberi kesan jangka panjang yang positif demi pembangunan, peningkatan dan kecemerlangan pelajar secara khususnya dan sekolah secara amnya. Kepemimpinan guru juga mampu meningkatkan sifat kendiri yang positif dalam kalangan guru. Guru yang berwibawa dan berkarisma menjadi anak tangga kepada pelajar untuk sampai ke tahap tertinggi. Hubungan guru dengan ibu bapa pula menghasilkan satu simpulan yang merentangkan tali yang panjang dan berupaya menerbangkan layang-layang di awan yang tinggi. Pelajar adalah ibarat layang-layang yang memerlukan tali untuk berpaut bagi mengelak terlepas jauh ke lembah yang gelap.



7.0 ULASAN


Secara ringkasnya, dalam laporan ini, kami telah membincangkan tema kepepemimpinan atau kepimpinan guru dengan memperincikannya kepada lima subtajuk kecil, Antaranya, kepemimpinan guru dalam bilik darjah; kepemimpinan guru menurut perspektif Islam; kompeten kepemimpinan guru; kepemimpinan guru dalam pengajaran dan budaya sekolah; dan implikasi kepemimpinan guru. Dalam subtajuk-subtajuk yang telah diperbincangkan ini, kami telah menghuraikan lebih mendalam bagaimana dikatakan dengan kepemimpinan guru dalam kelima-lima aspek penilaian tersebut. Dalam subtajuk kepemimpinan guru dalam bilik daarjah, ia lebih menekankan tentang tanggunggjawab guru dalam mewujudkan suasana iklim bilik darjah yang kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Manakala dalam subtajuk kepemimpinan guru menurut perspektif Islam, perbahasannya lebih menerangkan tentang kedudukan guru itu dalam Islam, kewajipan guru dan bagaiman guru tersebut dapat merealisasikan matlamat utamanya sebagai guru menurut pandangan Islam. Dalam subtajuk kompeten kepemimpinan guru, ia memfokuskan kepada kemahiran-kemahiran yang perlu ada pada seorang guru yang dapat menjadikan guru tersebut sebagai pemimpin yang berkesan kepada pelajar. Selain itu, subtajuk kepemimpinan guru dalam pengajaran dan budaya sekolah pula membincangkan tentang kemahiran guru dalam pengajarannya di dalam kelas peranannya dalam mempengaruhi budaya sekolah ke arah yang lebih baik. Seterusnya subtajuk implikasi kepimpinan guru fokus kepada kupasan mengenai kesan atau keberhasilan kepimpinan guru kepada pelajar, masyarakat, sekolah dan sebagainya.


8.0 KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, tidak dapat dinafikan bahawa tanggungjawab guru sebagai pemimpin merupakan satu peranan besar yang bukan sahaja akan mempengaruhi pencapaian atau kejayaan sesebuah sekolah malah, dapat membentuk insan manusia yang berakhlak mulia dan unggul. Di samping itu, kepimpinan guru dalam bilik darjah bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan tetapi perlu diambil berat dan diberikan perhatian yang sewajarnya. Ini kerana kepimpinan seorang guru dalam bilik darjah bukan sahaja mampu mempengaruhi keadaan dan iklim dalam bilik darjah tetapi juga akan turut mempengaruhi tingkah laku pelajar dalam bilik darjah. Kepimpinan guru yang cukup mantap dalam bilik darjah akan mampu membentuk suasana pengajaran dan pembelajaran yang cukup berkesan di samping mampu menimbulkan minat pelajar untuk belajar. Manakala kepemimpinan dan peranan guru dalam perspektif Islam dapat menjelaskan bahawa guru ini bukan sahaja menjadi orang yang berperanan sebagai pendidik dalam ilmu keduniaan, malah berperanan dalam menyampaikan ilmu agama Islam sebagai bekalan dalam kehidupan di akhirat sekaligus menyelamatkan manusia daripada azab api neraka. Di samping itu, matlamat melahirkan generasi berakhlak mulia menerusi Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah bertepatan dengan seruan Rasulullah s.a.w. Oleh itu, bagi merealisasikan pembentukan generasi berakhlak mulia, para guru wajar menerima amanah tersebut dengan rasa rela hati selain menghayati peranan sebenar sebagai pendidik seperti yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya. Akhir sekali, Guru boleh dianalogikan sebagai kapten kapal yang sedang mengemudi sebuah kapal yang tidak ada penghujung pelayarannya tetapi yang ada cuma persinggahan untuk menurunkan penumpangnya yang mengikuti pelayaran. Jika baik pengemudian kapal tersebut maka penumpang akan berlabuh dengan selamat tetapi jika buruk pengemudiannya maka karam atau mudarat yang menanti penumpang dan kemudi kapal itu. Pelajar dianalogikan sebagai penumpang kapal yang belayar di atas kapal yang dikemudi oleh kapten yang bergelar guru. Ibu bapa pula adalah bebaling yang menyokong dan memastikan kapal sampai ke destinasi yang hendak dituju sepertimana yang diharapkan. Tanpa bebaling, kapal tidak akan bergerak dan begitu juga tanpa sokongan dan dorongan ibu bapa maka semangat pelajar untuk mempersembahkan kredibiliti diri sukar digembleng. Analogi ini memberi gambaran akan betapa pentingnya nilai kepimpinan seseorang guru yang juga digelar arkitek pembinaan insane dalam melaksanakan tugas yang tiada penghujungnya. Manusia yang lahir sebagai murid tetapi mati sebagai guru yang berwibawa merupakan individu mulia yang akan menghuni hati-hati manusia yang pernah mendengar celotehnya dan celoteh itu pula akan menjadi kenangan manis yang penuh bermaruah.

BIBLIOGRAFI

Ab. Halim Tamuri dan Zarin Ismail (2002). Pendidikan akhlaq dalam KBSM: Persepsi pelajar terhadap konsep akhlak. Prosiding Wacana Pendidikan Islam. Bangi: UKM.

Ab. Halim et al. (2004). “Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam ke atas pembangunan diri pelajar”. Laporan Kajian Fakulti Pendidikan, UKM dan Jabatan Pendidikan Islam dan Moral.

Abdul Halim el-Muhammadi (1991). Pendidikan Islam, falsafah, disiplin dan peranan pendidik. Selangor: Dewan Pustaka Islam.

Abdullah Sani Yahaya, Abdul Rashid Mohamed, Abd. Ghani Abdullah (2007). Guru sebagai pemimpin. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.


Ahmad Zabidi Abdul Razak (2006). Ciri Iklim Sekolah Berkesan: Implikasinya Terhadap Motivasi Pembelajaran. Diperolehi pada Mac 18, 2010 daripada .

Aminuddin Mohd. Yusuf (1990). Kepimpinan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hadari Nawawi (1993). Kepimpinan yang efektif. Yogyakarta: Gadjah Mada University Press.

Kamarudin Zakaria (2000). Kepimpinan Rasulullah s.a.w. Diperoleh pada 18 Februari 2004 daripada 


Mohd. Daud Hamzah (1990). Pembelajaran dan Implikasi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noraini Abdullah. Kepimpinan. Diperolehi pada Mac 10, 2010 daripada

Suppiah Nachiappan, Kamarulzaman Kamaruddin, Abd. Aziz Abd. Shukor, Ramlan Jantan, Roslinda Mustapha, & Hazalizah Hamzah. (2009). Pembelajaran dan Perkembangan Pelajar. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Yahya Don (2005). Kepimpinan Pendidikan di Malaysia. Kuala lumpur: PTS publishing Sdn. Bhd.


Dipos pd 7 Jamadil Awal 1431 @ 22.04.10 (Khamis, 7.40pg)
Tugasan Subjek Pendidikan (Pengurusan Pembelajaran)

Laporan Buku Log.
(Semester 4)
oleh:
Gadula Musthapa
Ferdaus Alawi
Ajmi Mahajul
Azuan Musah
Faris Saei

1 comment:

  1. boleh tolong carikan karangan
    bincangkan cici2 penting yang perlu dimikiki oleh seseorang individu untuk menjadi seorang modal insan yang cemerlang

    ReplyDelete