Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih & Maha Penyayang


"Setelah Kesulitan Pasti Ada Kemudahan"

Friday, May 7, 2010

Raja Chulalongkorn

Raja Chulalongkorn (1868-1910): Peranan dan Sumbangan dalam Memajukan Thailand

Raja Chulalongkorn (Rama V) lahir pada 20 September 1853 dan menaiki takhta pada usia 16 tahun selepas kemangkatan Raja Mongkut (Rama IV, yang bertindak menukar nama Siam kepada Thailand pada tahun 1839) pada tahun 1868. Sebelum mencapai usia 21 tahun, tampuk pemerintahan Thailand adalah di bawah pemangku raja iaitu Chao Phrya Suriyawongsi (1868-1873). Raja Chulalongkorn mendapat pendidikan awal daripada Puan Anna Leonowens dan Robert Morant yang berjaya mengubah pemikirannya. Raja Chulalongkorn digelar “Bapa Pemodenan” Thailand kerana berjaya membawa kemajuan dan kemodenan kepada Thailand. Raja Chulalongkorn mengaplikasikan sistem Barat dalam pemerintahan untuk menjamin kedaulatan Thailand. Secara tidak langsung, situasi ini telah menyebabkan Raja Chulalongkorn berjaya mengekalkan pemerintahannya di Thailand tanpa sebarang gangguan daripada kuasa Barat.

Sistem pentadbiran Barat telah diaplikasikan bagi memajukan Thailand. Pada tahun 1887, Putera Devawongse dihantar ke England untuk mengkaji dengan teliti sistem kabinet bagi disesuaikan dengan keperluan Thailand. Akhirnya sistem kerajaan bercorak kabinet Eropah telah dibentuk iaitu dengan penubuhan Majlis Masyuarat Tertinggi dan Majlis Penasihat. Kedua-dua ahli majlis ini bebas menyuarakan pendapat secara terbuka bagi mengatasi masalah yang dihadapi masyarakat Thai. Pada 1 April 1892, sistem pentadbiran pusat yang moden telah ditubuhkan. Melalui sistem ini, 12 Kementerian telah diperkenalkan yang diketuai oleh putera-putera raja yang berpendidikan Barat serta dibantu oleh penasihat-penasihat daripada Barat. Kementerian Keadilan misalnya, diketuai oleh Putera Rabi dan dibantu oleh penasihat dari Jerman iaitu Rolin Jacquemins. Secara umumnya, sistem pentadbiran yang bercorak kebaratan ini telah memberi kelebihan kepada Raja Chulalongkorn untuk terus mentadbir dan memajukan Thailand.

Sistem kehakiman juga telah diubah oleh Raja Chulalongkorn demi kemajuan Thailand. Pada Tahun 1894, Mahkamah Jenayah dan Mahkamah Awam ditubuhkan. Sekolah undang-undang juga didirikan bagi menggalakkan pelajar Thailand mempelajari sistem kehakiman Barat. Perubahan dalam sistem kehakiman telah memberi erti yang cukup besar kepada Thailand dalam mencapai kemajuan. Perubahan yang dilaksanakan oleh Raja Chulalongkorn dalam sistem kehakiman telah membawa perubahan besar kepada Thailand dalam mencorak ciri-ciri sistem kehakiman negara Eropah dalam merentasi arus kemajuan.

Peranan dan sumbangan Raja Chulalongkorn dalam sistem pendidikan juga cukup besar. Perubahan telah dilakukan dalam institusi sekolah dengan penekanan kepada ilmu sains, teknologi dan kemahiran. Pada tahun 1871, sekolah Inggeris telah diperkenalkan. Pengajaran di sekolah ini tertumpu kepada kemahiran bahasa Inggeris, ilmu sains, seni dan matematik yang bersifat moden. Buku-buku teks lama turut digantikan dengan buku-buku teks yang terkini serta dicetak menggunakan dakwat berkualiti dan diedarkan secara percuma kepada pelajar. Markah lulus dalam peperiksaan juga telah dinaikkan atau dipertingkatkan pada tahun 1884, demi menapis pelajar yang benar-benar pintar sahaja dapat menceburi diri dalam sistem pentadbiran kerajaan. Melalui perubahan yang dilakukan ini, Raja Chulalongkorn menyedari betapa pentingnya modal insan demi kemajuan Thailand.

Program penghantaran pelajar ke luar negara turut giat dijalankan. Pelajar-pelajar pintar dan kerabat diraja telah dihantar ke luar negara bagi menuntut pelbagai ilmu seperti pentadbiran, undang-undang, kewangan, ketenteraan di samping memantapkan kemahiran bahasa Inggeris. Pada tahun 1872, 14 orang sepupu Raja Chulalongkorn dihantar ke Raffles Institution, Singapura. 300 orang kaum kerabat lagi turut dihantar ke Eropah. Ringkasnya, melalui program luar negara ini, rakyat Thailand terdedah dengan dunia luar akhirnya mampu membawa kemajuan kepada Thailand kesan daripada ilmu yang telah banyak dipelajari.

Sistem perhubungan dan kemudahan infrasruktur juga diambil peduli oleh Raja Chulalongkorn. Jalan raya telah dibina menghubungkan kawasan pedalaman ke pusat-pusat ekonomi dan perindustrian. Terusan turut dibina demi aliran air yang sempurna. Kereta api turut dibina dengan landasannya menghubungkan Korat dan Paknam pada tahun 1893. Kemudahan ini telah memudahkan rakyat Thailand dan orang asing menjalankan kegiatan ekonomi serta menjimatkan masa, kos dan tenaga. Situasi ini telah membawa kemajuan yang bermakna kepada Thailand.

Daripada segi sosial, adat-adat yang menjadi kebiasaan Thailand telah dihapuskan. Misalnya, adat bersujud ketika menghadap raja Thailand telah dihapuskan pada tahun 1873. Sistem perhambaan turut dihapuskan secara berperingkat-peringkat melalui undang-undang Pengabdian 1874, sebelum dihapuskan seratus peratus pada tahun 1905. Adat perhambaan dalam pasukan tentera dan polis oleh golongan Pra dan Shui turut dihapuskan. Mudah difahami bahawa adat yang dianggap sudah ketinggalan ini telah diubah oleh Raja Chulalongkorn melalui kuasanya demi perubahan dan menjana kemajuan Thailand.

Sistem ekonomi turut rancak berkembang di bawah pemerintahan Raja Chulalongkorn. Sistem pertanian, khususnya aspek penanaman padi amat diberi keutamaan dengan pembinaan sistem pengairan moden di bawah Jabatan Tali Air. Bank-bank Inggeris turut ditubuhkan bagi tujuan pemberian pinjaman kepada petani. Padi yang dihasilkan amat berkualiti dan dapat dikeluarkan dua kali dalam setahun. Perubahan dan pembaharuan dalam sistem pertanian telah membawa erti yang cukup besar kepada Thailand untuk terus maju.

Raja Chulalongkorn turut meneruskan polisi luar negara iaitu dasar buka pintu yang dipelopori oleh Raja Mongkut. Raja Chulalongkorn telah menjalinkan hubungan yang baik dengan negara-negara asing khususnya daripada Eropah. Buktinya, Raja Chulalongkorn telah menandatangani perjanjian persahabatan dan perdangangan dengan Belgium, Itali, Sweden dan Norway pada tahun 1868. Pada tahun 1872, perjanjian sama dibuat dengan Jerman. Hal ini telah menyebabkan wujud banyak pejabat kedutaan asing di Bangkok. Secara ringkas, dapat kita fahami, polisi luar ini telah memajukan Thailand khususnya dalam bidang ekonomi ekoran kemasukkan pelabur-pelabur asing.

Kesimpulannya, kebijaksanaan Raja Chulalongkorn mencorak pentadbiran Thailand telah berjaya mengekalkan kedaulatan Thailand tanpa sebarang penjajahan kuasa asing secara langsung. Situasi ini membuka peluang kepada Thiland untuk mencorak kemajuan dengan memperkemaskan sistem politik, ekonomi, dan sosial di samping bersahabat dengan negara-negara Eropah yang begitu giat menjajah negara-negara Asia Tenggara.

Bibliografi
David K. Wyatt (1969). The Politics of Reform in Thailand: Education in the Reign of King Chulalongkorn. Thailand: Yale University Press.

Hussein Ahmad B.A. (Hons.) (1971). Sejarah Thailand Dari prasejarah hingga sekarang. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Ibrahim Mustafa B.A (Hons), Dip. Ed. (Malaya) (1994). Pengkajian Sejarah Moden. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Kobkua Suwannathat-Pian (1991). Sejarah Thai Zaman Bangkok. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,

Noel Bottye (1974). The Military, Government and Society In Siam, 1868-1910 : Politics and Military Reform during The Reign of King Chulalongkorn. U.S.A: Xerox University Microfilms, Ann Arbor, Michigan.

No comments:

Post a Comment